Pengusaha ikan pindah tempat pendaratan ke Kiansam

Pengusaha ikan pindah tempat pendaratan ke Kiansam

LABUAN, 18 Ogos – Lebih 10 penggiat industri penangkapan ikan laut dalam bersetuju memindahkan tempat pendaratan ikan mereka ke kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berharga RM20 juta di Kiansam, menjelang November ini.

Pengerusi LKIM Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata persetujuan bersama itu dicapai selepas dialog yang diadakan antara pengusaha perikanan Labuan, yang memiliki 52 bot, dan anggota Persatuan Nelayan Labuan di jeti perikanan Labuan di sini hari ini.

“Kami mengambil kira pelbagai isu yang dikemukakan penggiat industri dan akan memberi komitmen kami untuk menyelesaikannya, tanpa bertolak ansur dengan kuasa, undang-undang dan perjanjian. Di LKIM, kami bertanggungjawab terhadap kuasa yang diberi,” katanya pada sidang akhbar selepas dialog itu dan melakukan lawatan ke Labuan Food Industries di sini.

Beliau berkata sebuah kilang ais untuk hasil tangkapan laut perlu dibina dengan segera di kompleks berkenaan sebelum pemindahan itu dilakukan. – Bernama