Pengusaha inap desa, tidak berdaftar akan disenaraihitamkan

Pengusaha inap desa, tidak berdaftar akan disenaraihitamkan

KUCHING, 19 Sept – Kementerian Pelancongan Sarawak akan bertindak menyenaraihitamkan pengusaha inap desa dan rumah penginapan di negeri ini yang masih berdegil dan tidak mendaftarkan perniagaan mereka.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata langkah tersebut terpaksa diambil bagi menjaga industri pelancongan negeri dan juga sebagai langkah keselamatan kepada pelancong yang menginap.

Katanya ada pengusaha sekadar menukar premis kepada inap desa dan rumah penginapan tanpa kelulusan bomba, malahan tidak diinsuranskan.

“Semua pengusaha perlu berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, bila berdaftar mereka perlu patuh dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak bertanggungjawab seperti kerajaan tempatan.

“Kita mesti tegas dalam perkara ini kerana pelancong yang datang termasuk dari luar negara, sekiranya sesuatu berlaku kepada premis itu… sudahlah tidak berdaftar, tiada insurans jadi apa yang akan berlaku nanti?” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat bersama barisan kaunselor Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini hari ini.Mengulas lanjut, Abang Johari juga kesal kerana pengusaha yang enggan berdaftar tidak memberikan alasan kukuh.

“Kami sedang memantau pengusaha-pengusaha ini, STB (Lembaga Pelancongan Sarawak) perlu mengukuhkan sistem dalam talian dan tindakan yang boleh kita buat sekarang ialah meletakkan nama mereka ke dalam laman web kita sebagai pengusaha tidak sah dan kita katakan kepada operator pelancongan jangan bawa pelancong ke sana,” katanya. – Bernama