Pengusaha kecil di Pantai Tungku risau

Pengusaha kecil di Pantai Tungku risau

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mac – Sebilangan pengusaha kecil-kecilan di Pantai Tungku menyuarakan keresahan mereka terhadap kemungkinan tidak dapat menjalankan perniagaan di situ lagi apabila kawasan itu dimajukan.

Satu papan tanda telah dipasang di pantai berkenaan baru-baru ini yang antara lain menyatakan; ‘Pantai Tungku adalah tanah milik persendirian dan akan dimajukan.’

Menurut mereka, pantai berkenaan merupakan salah satu tempat mereka mencari rezeki bagi menambah pendapatan pada setiap hujung minggu dan musim cuti persekolahan/awam.

Sekumpulan pengusaha ATV yang beroperasi di situ turut menyuarakan keresahan mereka dan memberitahu media bahawa Pantai Tungku adalah salah satu tempat yang sesuai bagi pengusaha-pengusaha sewa ATV mencari sumber rezeki mereka.

Sebelum ini, kebanyakan tempat riadah lain seperti Pantai Serasa, Pantai Muara dan Pantai Seri Kenangan telah dikeluarkan notis amaran tidak membenarkan kenderaan ATV berada di tempat berkenaan, sekali gus membuatkan pengusaha ATV hanya mengharapkan Pantai Tungku sebagai lokasi pilihan.

Notis yang dipacakkan di Pantai Tungku.
Notis yang dipacakkan di Pantai Tungku.

Salah seorang pengusaha ATV sejak tahun 2014, Awang Mohd Salleh bin Haji Mohd Said berkata, sesetengah pengusaha ATV sudah memulakan perniagaan sewa ATV sejak di Pantai Serasa, namun setelah Pantai Serasa diubahsuai dan keadaan tempat yang terhad, pengusaha ATV kebanyakannya berpindah ke Pantai Tungku.

Pada masa ini terdapat lebih 10 pengusaha ATV aktif mengusahakan perniagaan sewa ATV di Pantai Tungku.

Menurut mereka, Pantai Tungku adalah tempat yang sesuai bagi pengunjung-pengunjung menyewa ATV kerana keadaannya yang luas, mudah dikunjungi dan sedikit mencabar.

Mereka berharap aktiviti di Pantai Tungku seperti ini akan dikekalkan seperti sedia kala bagi menarik pengunjung dan seterusnya dapat membantu pengusaha-pengusaha kecil atau sederhana untuk mencari rezeki.

Jika pantai berkenaan ditutup untuk dimajukan, pengusaha-pengusaha berharap agar pihak berkenaan memberikan notis awal dan mencarikan tempat yang sesuai serta luas bagi pengusaha-pengusaha lain termasuk ATV bagi menarik pengunjung dan orang ramai.

Lagi pula, kenderaan ATV ini tidak sesuai digunakan di jalan raya dan hanya seronok digunakan di tempat-tempat yang luas, jelas salah seorang pengusaha ATV.

Selain itu, pengusaha-pengusaha ATV juga menyatakan perasaan risau kerana memikirkan bayaran balik kepada bank atas pembelian ATV jika Pantai Tungku ditutup.

Dayang Liyana yang merupakan salah seorang pengusaha terkenal dengan penjualan keropok lekor buatan sendiri di Gerai 46 Kulapis di samping menjual barangan makanan lain turut melahirkan harapan agar pihak berkenaan memaklumkan kepada mereka lebih awal jika berlakunya penutupan di Pantai Tungku.

Sebelum ini, Gerai 46 Kulapis pernah menjalankan perniagaan mereka secara kecil-kecilan di Pantai Serasa dan memandangkan pada masa itu, Pantai Serasa diubahsuai dan para peniaga tidak dibenarkan berjaja di kawasan tersebut, mereka berpindah ke Pantai Tungku sejak lima tahun yang lalu, jelasnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA