Pengusaha makanan perlu pastikan pekerja ambil suntikan kepialu

Pengusaha makanan perlu pastikan pekerja ambil suntikan kepialu

LABUAN, 26 Okt (Bernama) – Jabatan Kesihatan di sini mengeluarkan notis peringatan kepada pengusaha makanan berhubung suntikan kepialu bagi pekerja mereka sejak berlakunya penularan penyakit itu pada Ogos.

Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismail Ali berkata tempoh tertentu diberikan kepada majikan untuk memastikan pekerja mereka mendapatkan suntikan kepialu atau tifoid.

“Selepas dua minggu dilakukan pemeriksaan ke atas 65 peratus kedai makan di sini, kami mendapati tidak semua pekerja telah mengambil suntikan dan ini menimbulkan kebimbangan,” katanya kepada Bernama Isnin.

Beliau berkata Labuan merekodkan dua kes kepialu pada tahun ini.

“Pengguna kini meletakkan jangkaan tinggi terhadap kebersihan bekalan makanan. Bagi pencegahan efektif, langkah betul perlu diambil pada setiap peringkat pengeluaran dan proses penyediaan makanan,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan terhadap baki premis dan pemeriksaan susulan akan juga dilakukan untuk memastikan pengusaha makanan mematuhi notis itu.

Demam kepialu merupakan penyakit yang boleh mengancam nyawa disebabkan oleh bakteria Salmonella Typhi yang mencemari makanan dan minuman. Antara simptomnya adalah demam, keletihan, cirit-birit, muntah, sakit perut, sembelit dan sakit kepala dan kadang kala ruam.