Pengusaha perlu daftar bengkel

Pengusaha perlu daftar bengkel

Oleh Mohamad Asyramisyanie & Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Semua pengusaha bengkel kenderaan bermotor dan treler termasuklah penjual dan pemasang alat ganti serta aksesori kereta di seluruh negara perlu mendaftar dan mendapatkan pengiktirafan bengkel, mendaftar dan mendapatkan kebenaran menjual alat-alat ganti dan aksesori kenderaan daripada pihak Jabatan Pengangkutan Darat (JPD).

JPD memaklumkan mengenai peraturan baru itu dalam ‘Dialog JPD bersama Semua Pengusaha Bengkel Kenderaan Bermotor dan Treler serta Penjual dan Pemasang Alat Ganti dan Aksesori Kenderaan di Seluruh Negara’ di Kementerian Pembangunan, Berakas hari ini.

Dialog turut diadakan untuk mengumpulkan maklumat dan data-data lanjut mengenai operasi dan pengendalian semua bengkel kenderaan bermotor dan treler serta penjual serta pemasang alat ganti dan aksesori kenderaan di seluruh negara.

Hadir pada sesi dialog dan menyampaikan taklimat ialah Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat, Dr. Haji Supry bin Haji Awang Ladi. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah JPD, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, ketua-ketua bahagian serta pegawai-pegawai kanan JPD.

Dr. Haji Supry ketika ditemu bual wartawan Media Permata selepas sesi dialog itu mengatakan kenderaan pula tidak boleh diubah suai sewenang-wenangnya tanpa mengetahui impak ke atas keselamatan penggunanya kerana ia akan mengubah ciri asal kenderaan termasuk keberkesanan brek dan aerodinamiknya.

Dr. Haji Supry ketika ditemui sejurus selepas selesai mempengerusikan sesi dialog di Kementerian Pembangunan di Berakas.
Dr. Haji Supry ketika ditemui sejurus selepas selesai mempengerusikan sesi dialog di Kementerian Pembangunan di Berakas.
Seorang pengusaha bengkel kenderaan bermotor mengajukan soalan kepada Pengarah JPD.
Seorang pengusaha bengkel kenderaan bermotor mengajukan soalan kepada Pengarah JPD.

Beliau menjelaskan antara pengubahsuaian yang sering dikesan termasuklah melebarkan kereta, penggunaan tayar dan rim besar, pemotongan spring yang boleh memberikan impak tidak menentu kepada fungsi asal bahagian yang diubah sama ada perubahan positif atau sebaliknya. Namun untuk memastikan pengubahsuaian itu sesuai atau sebaliknya, pemilik kenderaan disyorkan datang ke JPD untuk bertanyakan hal itu.

“JPD tidak menyekat hasrat pemilik malahan mengalu-alukan mereka untuk datang ke JPD bagi mendapatkan khidmat nasihat mengenai pengubahsuaian kereta dan kebenaran daripada kami,” katanya.

Tambahnya, JPD mempunyai pakar yang akan membuat perkiraan atau penilaian tertentu sebelum memberikan kebenaran membuat sebarang pengubahsuaian mengikut syarat dan persetujuan kedua-dua belah pihak.

Mengulas mengenai desas-desus bahawa JPD mengawal pengusaha alat ganti pula, Dr. Haji Supry menegaskan pengusaha-pengusaha ini sebenarnya bebas namun melalui pendaftaran dan pengiktirafan bengkel serta kebenaran menjual alat ganti dan aksesori yang baru dimaklumkan, JPD akan lebih terlibat dalam membuat pemantauan berterusan ke atas kualiti dan jaminan kepada pengguna.

“Pada dasarnya, JPD tidak berhasrat menyekat kerja atau pendapatan pengusaha-pengusaha ini, sebaliknya mahu membantu pengusaha ini mendapatkan maklumat dan garis panduan yang sesuai dengan spesifikasi kereta tanpa mengganggu keberkesanan kenderaan yang dibaiki sekali gus meningkatkan pendapatan mereka melalui kualiti perkhidmatan dan produk yang lebih terjamin,” tambahnya.

Menurutnya lagi, melalui peraturan baru ini, JPD akan lebih mengetahui mana-mana bengkel yang baru dan lama serta akan lebih memudahkan lagi JPD mengenali pengusaha yang beroperasi di negara ini.

Inisiatif baru ini bukan untuk menakutkan pengusaha-pengusaha namun akan menjadi platform penyusunan yang lebih teratur supaya struktur bidang perniagaan ini lebih sistematik sekali gus membantu memperkembangkan lagi perniagaan masing-masing, katanya.

Haji Supry menyeru agar semua pengusaha bekerjasama dengan JPD dalam hal ini agar pengelasan dan penggubalan struktur baru ini lebih mudah dan selaras dengan dasar Kementerian Perhubungan dalam penggubalan dasar jabatan di bawahnya.

Beliau mengatakan, Kementerian Perhubungan melalui JPD akan terus membantu pihak pengusaha dalam memperluaskan perkhidmatan masing-masing berdasarkan keperluan tertentu dan percaya terhadap kemampuan pengusaha untuk terus menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di negara ini tanpa mengganggu aspek alam sekitar dan keselamatan jalan raya yang perlu diambil berat.

Mengulas mengenai perancangan JPD dalam suku terakhir tahun 2015 ini, beliau menjelaskan bahawa masih banyak yang perlu JPD promosikan bersama pihak-pihak relevan, antaranya adalah taklimat kepada pekerja-pekerja asing di negara ini mengenai keselamatan jalan raya dengan pendekatan bahasa masing-masing yang antaranya akan menyentuh perihal kenderaan yang bernilai, tali pinggang keledar, larangan memandu ketika mengantuk serta perawakan sesuai ketika menggunakan jalan raya.

Beliau turut menitipkan nasihat kepada pengguna jalan raya di negara ini agar tidak melanggar peraturan dan undang-undang jalan raya seperti tidak mengikut had laju, tidak menggunakan tali pinggang keledar, penggunaan tayar botak, dan menanamkan sikap bertanggungjawab untuk tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu, meskipun dalam saat kepentingan.

“Tumpukan sepenuh perhatian abiskita kepada pemanduan dan persekitaran ketika memandu dan saya percaya seberapa penting pun perkara yang perlu diambil kira ketika memandu ia perlu dilupakan sementara sehingga sampai ke destinasi yang ditujui,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA