Pengusaha pertanian disaran terokai pasaran luar

Pengusaha pertanian disaran terokai pasaran luar

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Pengusaha sektor pertanian di negara ini disarankan supaya mengusahakan ladang mereka secara besar-besaran dan tidak hanya menyasarkan hasil keluaran pertanian mereka bagi pasaran dalam negara, malah menerokai pasaran luar negara.

Ini kerana dengan mengusahakan ladang pertanian secara berskala besar, pengusaha mendapat manfaat membeli bekalan pertanian seperti benih, baja, racun perosak dan peralatan pertanian dengan kos yang lebih murah.

Pihak kerajaan Brunei juga bakal memperkenalkan benih ‘Padi Titih’ pada tahun depan yang mampu menghasilkan sehingga lapan hingga sepuluh tan padi setiap hektar, dan kini sedang dalam perundingan dengan beberapa pembekal luar negara untuk mengimport biji benih padi yang mampu menghasilkan sekitar 12 tan padi bagi setiap hektar, pada 2019.

Saranan itu dibuat oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong ketika ditanya pemberita semasa lawatannya ke syarikat pembekal pertanian AE Asia Agri-Mart Sdn Bhd, di Kawasan Pertanian Betumpu, Kampung Bengkurong-Masin, hari ini.

Katanya: “Kita mestilah berladang secara besar-besaran untuk membekal kepada pasaran tempatan dan juga untuk pasaran eksport, dan tidak menjadikan saiz pasaran tempatan yang kecil sebagai alasan untuk peladang mengehadkan aktiviti perusahaan mereka.”

pg01_160401_b

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali meninjau buah-buahan dan sayur-sayuran yang dihasilkan oleh AE Asia Agri-Mart Sdn Bhd Enterprise.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali meninjau buah-buahan dan sayur-sayuran yang dihasilkan oleh AE Asia Agri-Mart Sdn Bhd Enterprise.

Menurut beliau, pasaran pertanian yang besar terletak di rantau ASEAN, China, Korea dan Jepun, maka jika peladang tempatan mengembangkan aktiviti perladangan mereka dengan sendirinya bekalan dan peralatan pertanian yang dibeli secara pukal akan dapat dibeli dengan kos yang lebih murah.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali juga menyentuh mengenai penggunaan benih tanaman yang mampu mengeluarkan hasil keluaran tinggi kerana itu akan meningkatkan keuntungan pihak pengusaha ladang.

Beliau menjelaskan, dominasi skala perusahaan untuk mendapat penghasilan yang tinggi, dominasi teknologi yang digunakan dan penggunaan benih-benih yang dapat meningkatkan hasil tanaman adalah faktor utama dalam meningkatkan industri pertanian di negara ini.

Ketika ditanya mengenai bantuan pihak kerajaan kepada para pengusaha perladangan tempatan berskala besar, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali berkata, kerajaan memang sentiasa menghulurkan bantuan kepada pengusaha tempatan.

“Kalau peladang tempatan menjalankan aktiviti perladangan berskala besar dengan menggunakan teknologi terkini dan benih terbaik, mereka tidak memerlukan subsidi dan bantuan daripada kerajaan kerana hasil keuntungan mereka yang meningkat sudah mampu untuk menampung kos perladangan yang ditanggung,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, pada masa ini kerajaan menghadapi kerugian yang besar kerana terpaksa membeli padi daripada peladang tempatan pada harga yang mahal dan menjual beras pada harga subsidi yang murah.

Ini kerana, benih padi yang digunakan pada masa ini adalah daripada benih yang mengeluarkan hasil tuaian rendah, iaitu yang menghasilkan antara tiga hingga lima tan per hektar setiap tahun, sedangkan penghasilan padi di negara seperti Indonesia dan Thailand kini sudah berjaya menghasilkan sehingga 12 tan sehektar bagi tempoh penanaman yang sama.

Beliau seterusnya berkata, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan bakal memperkenalkan benih padi baru bernama ‘Padi Titih’ pada tahun depan yang mampu meningkatkan hasil keluaran padi sehingga lapan tan, dan seterusnya akan memperkenalkan beberapa jenis benih padi lain yang mampu meningkatkan pengeluaran sehingga 12 tan bagi satu hektar.

Beliau seterusnya menjelaskan, kerajaan membukakan peluang dalam industri perladangan itu kepada peladang tempatan dan juga kepada pelaburan langsung asing untuk diusahakan.

“Apa yang penting kepada kami ialah para peladang mestilah menggunakan tanah ladang mereka secara efisien dengan memilih tanaman yang mengeluarkan hasil tinggi dan boleh dieksport,” kata Yang Berhormat Dato sebelum mengakhiri temu bual itu.

ARTIKEL YANG SAMA