Pengusaha PKS digalak eksport produk

Pengusaha PKS digalak eksport produk

KOTA BAHARU, 14 Ogos – Pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) digalakkan mengeksport produk keluaran mereka ke pasaran antarabangsa, termasuk negara anggota ASEAN.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata untuk itu, kementerian berkenaan sedang mengatur program bagi membolehkan pengusaha PKS mengeksport produk mereka.

“Antara program tersebut ialah GenEX 2016 (Generasi baharu pengeksport) yang diwujudkan untuk menggalakkan pengusaha muda PKS mengeksport produk keluaran mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Latihan dan Misi Perdagangan Malaysia-Thailand, di sini hari ini.

Mustapa berkata pasaran luar negara, terutama China, sangat besar bagi produk keluaran pengusaha PKS yang kebanyakannya terlibat dalam perusahaan makanan dan minuman, pakaian dan perkhidmatan.

Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua, kiri) bertanya sesuatu kepada peserta ketika hadir pada Pelancaran Program GenEX Separuh Akhir kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua, kiri) bertanya sesuatu kepada peserta ketika hadir pada Pelancaran Program GenEX Separuh Akhir kelmarin. – Bernama

Beliau berkata kaedah baharu yang lebih berinovatif juga perlu dicari bagi memastikan produk keluaran PKS dapat memenuhi permintaan tinggi dari negara luar.

Katanya kementerian itu juga akan membawa pengusaha PKS meneroka peluang perniagaan, terutama di negara anggota ASEAN.

“Setakat ini, daripada jumlah keseluruhan nilai eksport negara, sebanyak 17 peratus disumbangkan oleh sektor PKS, dan peratusan itu akan ditingkatkan kepada 20 peratus menjelang tahun 2020,” katanya. – Bernama