Pengusaha tanaman sayuran perlu jaga kualiti – Tawfiq

Pengusaha tanaman sayuran perlu jaga kualiti – Tawfiq

TAWAU, 31 Mac (Bernama) – Pengusaha tanaman khususnya sayur-sayuran perlu menjaga kualiti tanaman masing-masing mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB) dan mendapat sijil Skim Organik Malaysia (SOM), kata menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata perkara itu penting bagi memastikan para pengusaha tanaman dapat menghasilkan atau membekalkan sayur-sayuran yang berkualiti tinggi dari segi keselamatan, yang sangat diutamakan oleh para pembeli.

“Pada tahun lepas Sabah telah mengeksport sayur-sayuran ke Brunei, Hong Kong, Indonesia, Filipina, Semenanjung Malaysia dan Sarawak. Ia menunjukkan bahawa industri sayur-sayuran memberi sumbangan yang besar terhadap ekonomi negeri Sabah.

“Sekiranya para pengimport tidak lagi membeli sayur-sayuran dari negeri ini, disebabkan masalah kualiti, ia akan memberi kesan yang amat besar ke atas industri sayur-sayuran di Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Seminar APB yang dihadiri 209 peserta dari kalangan petani dan pengusaha sayur di daerah ini, di sini hari ini.

APB adalah satu sistem pengurusan sumber di dalam pengeluaran pertanian secara baik dan lestari serta sistem ini dapat meningkatkan produktiviti ladang serta menghasilkan makanan yang selamat dan berkualiti.

Manakala SOM merupakan skim pensijilan yang diwujudkan oleh Jabatan Pertanian bagi memberi pengiktirafan kepada ladang yang mengamalkan perladangan organik berpandukan standard yang ditetapkan.