Pengusiran penduduk Kg Mutiara diberi tempoh 1 bulan

Pengusiran penduduk Kg Mutiara diberi tempoh 1 bulan

GEORGE TOWN, 29 Dis – Penduduk Kampung Mutiara, Batu Ferringhi yang berhimpun hari ini bagi mempertahankan rumah mereka daripada dirobohkan, diberi tempoh sebulan mulai hari ini untuk berbincang dengan pemilik tanah, kata Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid.

Beliau berkata polis mendapatkan perintah mahkamah hari ini bagi penangguhan pengusiran itu selepas mengadakan perbincangan dengan pemilik tanah, atas faktor keselamatan.

Terdahulu beliau mengarahkan kira-kira 300 penduduk kampung itu yang berhimpun hari ini bagi menghalang pengusiran mereka dan perobohan rumah mereka yang dikatakan akan dilakukan hari ini, supaya bersurai.

“Hasil perbincangan dengan pemilik tanah dan pendaftar mahkamah hari ini, aktiviti pengusiran ditangguhkan sebulan mula tarikh hari ini … walaupun pemilik tanah mempunyai perintah pengusiran penduduk dari kawasan itu.

“Penangguhan tempoh sebulan akan memberikan masa kepada mereka yang terlibat untuk mengadakan perbincangan dan mengelak daripada berlakunya perkara yang tidak diingini,” kata Mior Faridalathrash kepada penduduk kampung itu di sini Selasa.

Penduduk Kampung Mutiara, Batu Ferringhi membuat benteng manusia bagi menghalang pemaju merobohkan rumah mereka hari ini. – Bernama
Penduduk Kampung Mutiara, Batu Ferringhi membuat benteng manusia bagi menghalang pemaju merobohkan rumah mereka hari ini. – Bernama

Penduduk kampung itu mula berkumpul sejak awal pagi selepas tersebarnya desas-desus pemilik tanah berkenaan akan bertindak merobohkan kira-kira 64 buah rumah serta menghalau penghuninya pagi ini.

Antara yang dilihat hadir memberi sokongan kepada penduduk itu ialah Anggota Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari, Setiausaha UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang Datuk Shah Headan Ayoob Shah Hussain dan ADUN Tanjung Bungah Teh Yee Cheu. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA