Pengusiran setinggan tonjolkan cabaran tentera Suu Kyi

Pengusiran setinggan tonjolkan cabaran tentera Suu Kyi

YANGON, 12 Feb – Beberapa hari sebelum pelopor demokrasi Aung San Suu Kyi memimpin penggubal undang-undang memasuki parlimen sebagai bakal kerajaan Myanmar, Ei Than memerhati jentolak yang dihantar oleh tentera memusnahkan rumahnya di kawasan setinggan di pinggir bandar Yangon.

Ei Than adalah salah seorang daripada 2,500 orang yang diusir daripada tanah milik tentera di Mingaladon dalam satu pengusiran beramai-ramai yang memberikan satu imbasan dalam cabaran yang dihadapi oleh Suu Kyi dalam perkongsian kuasa dengan angkatan bersenjata setelah pemerintahan kuku besi junta selama 50 tahun.

Tanah itu, di pinggir ibu negeri komersial, adalah milik Myanma Economic Holdings Limited (MEHL), konglomerat milik tentera yang memperkukuh cengkaman angkatan bersenjata ke atas kawasan di salah satu ekonomi yang berkembang paling pesat di Asia Tenggara.

Parti Suu Kyi memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya pada November lalu, tetapi masih perlu bekerjasama dengan tentera disebabkan pengaruhnya ke atas jabatan penting dalam jentera kerajaan.

Dalam tempoh 20 tahun Ei Than menetap di tanah berkenaan, beliau tidak mempunyai idea ia dimiliki oleh tentera: seperti kebanyakan penghijrah ke bandar terbesar negara, beliau membina rumahnya di tanah kosong.

Gambar menunjukkan warga yang kehilangan tempat tinggal berada di tempat perlindungan sementara mereka di tepi jalan di Yangon. – Reuters
Gambar menunjukkan warga yang kehilangan tempat tinggal berada di tempat perlindungan sementara mereka di tepi jalan di Yangon. – Reuters

Kolonel Tin Aung Tun, menteri keselamatan dan hal ehwal sempadan untuk Kerajaan Serantau Yangon, berkata beliau tidak tahu kegunaan tanah berkenaan, yang dikelilingi oleh taman perindustrian yang menempatkan banyak kilang pengeluaran milik tentera.

“Tanah berkenaan milik kerajaan,” kata kolonel, yang, sebagai pegawai kanan tentera bertanggungjawab ke atas kawasan tersebut, menyelia pengusiran. “Saya terpaksa menjalankan tugas saya.”

Beliau berkata mereka yang diusir telah ditawarkan makanan, air dan tempat berteduh sementara di kilang cat berhampiran. Ada di antara mereka hanya berpindah ke tapak tersebut baru-baru ini dalam harapan mereka boleh mendapat bayaran pampasan, tambah beliau. – Reuters