Peniaga dipenjara dan didenda rasuah pegawai imigresen

Peniaga dipenjara dan didenda rasuah pegawai imigresen

KUCHING, 9 Ogos – Mahkamah Khas Rasuah Kuching hari ini menjatuhi hukuman penjara enam hari dan denda RM10,000 terhadap seorang ahli perniagaan tempatan yang mengaku bersalah merasuah seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen.

Hakim, Nixon Kennedy telah menjatuhi hukuman itu ke atas Bong Jun Kuen, 42, atas pertuduhan memberi wang suapan sebanyak RM610 kepada seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen, Morshidi Marzuki.

Wang itu sebagai dorongan supaya beliau tidak mengambil tindakan terhadap pekerjanya warganegara Indonesia yang tidak memiliki permit kerja yang sah, satu kesalahan mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 17(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang dihukum menurut Seksyen 24 akta yang sama.

Hakim turut memerintah tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda RM10,000 yang dikenakan terhadapnya.

Bong dituduh melakukan kesalahan berkenaan pada 4 Ogos 2016, kira-kira jam 2:15 petang di Pezzo Pizza Simpang 3, Café S.T Cita Rasa, Tingkat Bawah Lot 10787, Sub Lot 7, Jalan Simpang Tiga di sini.

Pendakwaan dilakukan oleh pegawai pendakwa daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Katerine Nais. – Bernama