Peniaga diserang 2 lelaki bersenjata

Peniaga diserang 2 lelaki bersenjata

Oleh Arissa

 

LAWAS, 25 Ogos – Seorang peniaga diserang dua lelaki memakai topeng muka, bersenjatakan pedang samurai dan kayu telah melarikan beg yang mengandungi barang berharga miliknya dalam insiden rompakan bersenjata sebelum melarikan diri ke Batu 6, Jalan Trusan di sini malam tadi (24 Ogos).

Kejadian yang berlaku jam 7 malam itu menyebabkan mangsa lelaki, 34, kehilangan barang berharga termasuk kad kredit, kad ATM, lesen memandu, telefon bimbit, serta wang tunai RM2,000 selepas keretanya ditahan oleh kedua-dua suspek yang menaiki kereta jenis Proton Saga berwarna hitam.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kereta yang dipandu oleh suspek bersenjata itu, bagaimanapun telah terbabas semasa melarikan diri dari jarak lebih kurang dua kilometer dari lokasi kejadian.

TERBABAS... Kereta yang dinaiki suspek rompakan terbabas ke kawasan  hutan.
TERBABAS… Kereta yang dinaiki suspek rompakan terbabas ke kawasan  hutan.
DITEMUI....Peralatan senjata tajam dan topeng muka dirampas.
DITEMUI….Peralatan senjata tajam dan topeng muka dirampas.

“Kedua-dua suspek melarikan diri ke arah hutan berhampiran, namun salah seorang suspek berjaya ditahan sekitar jam 11:30 malam hasil gerakan bersepadu polis yang dijalankan, dan seorang lagi rakannya masih bebas,” katanya di sini semalam.

Beliau memberitahu lagi suspek lelaki yang ditahan berusia 36 dan berbangsa Dusun turut memiliki beberapa rekod jenayah yang direkodkan di Sabah.

“Kita akan meneruskan lagi usaha untuk  mengesan suspek yang masih bebas hari ini,” katanya lagi.

Beliau menambah, sebuah kereta  jenis Proton Saga berwarna hitam yang digunakan suspek, peralatan senjata tajam dan topeng muka untuk merompak mangsa turut dirampas.