Peniaga mematuhi peraturan yang dikenakan

Peniaga mematuhi peraturan yang dikenakan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Setelah lebih tiga minggu penetapan harga maksimum bagi barang-barang makanan yang terpilih bagi musim perayaan ini dikuatkuasakan, pihak Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) tidak menerima apa-apa aduan daripada orang ramai.

“Hasil daripada lawatan-lawatan yang telah dilaksanakan menunjukkan para peniaga atau pun kedai-kedai mematuhi segala peraturan yang dikenakan terhadap barang-barang makanan yang dikawal harganya atau diberikan harga maksimum bagi musim perayaan ini,” ujar Pemangku Ketua Pengarah JPKE, Haji Abdul Amin bin Haji Hashim ketika mengetuai lawatan mengejut ke Pusat Membeli-Belah Utama Grand Superstore di The Mall Gadong dan Pusat Membeli-belah Sim Kim Huat (SKH), Gadong, hari ini.

Menurutnya, pihak JPKE merasa bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada para peniaga yang telah mengikuti peraturan harga maksimum ini dan inilah satu-satunya cara peniaga membantu kerajaan dan khususnya orang ramai bagi membeli barang-barang yang dikenakan harga maksimum yang terpilih.

Lawatan pagi tadi, melibatkan sepasukan pegawai penguat kuasa kawalan harga Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri dan turut disertai Timbalan Setiausaha Tetap (Ekonomi dan Kewangan) di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Hajah May Faezah binti Haji Ahmad Ariffin.

Pihak JPKE telah bekerjasama dengan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) untuk menetapkan harga maksimum bagi barangan terpilih seperti daging ayam bulat, telur ayam, mentega, marjerin, minyak sapi, susu pekat, cair dan krim, tepung, sapuan coklat Hazelnut, santan pekat, krim dan serbuk, serbuk udang kering dan kulit popia.

Sepasukan pegawai penguat kuasa kawalan harga JPKE semasa mengadakan lawatan mengejut ke Pusat Membeli-Belah Utama Grand Superstore di The Mall Gadong pagi kelmarin.
Sepasukan pegawai penguat kuasa kawalan harga JPKE semasa mengadakan lawatan mengejut ke Pusat Membeli-Belah Utama Grand Superstore di The Mall Gadong pagi kelmarin.
Haji Abdul Amin semasa ditemui Media Permata.
Haji Abdul Amin semasa ditemui Media Permata.

Haji Abdul Amin turut menyeru orang ramai untuk berhati-hati dengan harga-harga yang telah ditetapkan harga maksimum dan memberi laporan kepada pihak kerajaan khusunya pihak JPKE jika mendapati barang-barang yang diberikan harga maksimum melebihi harga yang ditetapkan.

“Daripada lawatan-lawatan yang dilakukan kita mendapati ada peniaga-peniaga memberikan harga yang lebih murah daripada sebilangan kedai-kedai yang lain dan ini adalah perlu bagi orang ramai untuk melihat sendiri di mana harga-harga yang paling murah bagi barang-barang yang mereka akan gunakan.”

Menurutnya lagi, setakat ini pihak JPKE belum ada mendapati mana-mana perniagaan yang menunjukkan mereka mempunyai masalah stok yang tidak mencukupi dan setakat ini bekalan-bekalan sentiasa ada di kedai-kedai perniagaan.

Beliau menjelaskan lagi, bagi barang-barang keperluan semasa musim perayaan ini, kebanyakan barang-barang yang diperlukan adalah stok-stok yang baru. Pihak JPKE setakat ini juga belum menerima mana-mana aduan mengenai dengan masalah tarikh luput.

Orang ramai boleh membuat aduan dengan menyatakan alamat syarikat, tarikh dan bukti-bukti pembelian seperti resit pembelian atau gambar (jika ada) melalui talian hotline 2230223 pada waktu pejabat atau melalui e-mel kepada aduanpengguna@jpke.gov.bn atau consumercomplaint@jpke.gov.bn, Facebook www.facebook.com/AduanPenggunaJPKE, atau datang terus ke Pejabat JPKE di alamat Bilik 3.04, Tingkat 3, West Wing, Block 2A, Jalan Ong Sum Ping.

Senarai harga barang-barang yang ditetapkan harga maksimum boleh didapati di laman sesawang JPKE di www.depd.gov.bn.

Lawatan pagi tadi itu adalah untuk memastikan para syarikat perniagaan yang menjual barang-barang makanan yang ditetapkan harga maksimum sempena musim perayaan tahun ini pada harga berpatutan dan tidak melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan.

Di samping itu, penetapan harga maksimum ini juga bertujuan untuk mengawal harga barang-barang makanan terpilih yang merupakan bahan-bahan asas bagi penyediaan makanan sempena bulan Ramadan dan juga Hari Raya.

Ia diharapkan dapat membantu rakyat di negara ini dalam menampung perbelanjaan harian mereka sempena musim perayaan.

ARTIKEL YANG SAMA