Peniaga mengira kos rusuhan kasta India

Peniaga mengira kos rusuhan kasta India

NEW DELHI, 23 Feb (Reuters) – Peniaga di utara negeri India sedang mengira kos rusuhan dan penjarahan lebih seminggu oleh kasta luar bandar di mana kedai dibakar, jalan raya dan perkhidmatan kereta api disekat, dan bekalan air ke metropolitan Delhi diputuskan.

Pemimpin kasta luar bandar mencapai satu perjanjian lewat semalam untuk menamatkan bantahan yang telah melumpuhkan negeri Haryana dan memutuskan bekalan air kepada 20 juta penduduk Delhi. Polis negeri berkata lebuh raya utama dibuka semula kepada lalu lintas hari ini.

Rusuhan dan penjarahan beberapa hari di seluruh negeri Haryana oleh komuniti Jat mencabar janji Perdana Menteri Narendra Modi untuk mempertingkat taraf hidup penduduk India yang memilih beliau pada 2014 dengan majoriti terbesar dalam tiga dekad. Muhammad Akil, ketua pengarah polis tambahan di Haryana, meletak jumlah kematian terbaru pada 19, dengan 170 orang cedera.

Di bandar Rohtak, pusat keganasan oleh Jat yang menuntut lebih banyak jawatan kerajaan dan penempatan kolej, peniaga berkata mereka menghadapi pembinasaan.

Penunjuk perasaan melaungkan slogan mereka dengan membawa kain rentang dan sepanduk semasa perarakan protes di New Delhi, India. – Reuters
Penunjuk perasaan melaungkan slogan mereka dengan membawa kain rentang dan sepanduk semasa perarakan protes di New Delhi, India. – Reuters

Modi masih mendiamkan diri sepanjang tempoh pergolakan sosial paling teruk ketika pemerintahan 20 bulan beliau, sementara kerajaan persekutuan dan negeri Haryana, kedua-duanya ditadbir oleh parti politik nasionalis beliau, telah bergelut untuk bertahan.

Keganasan, dan bantahan pelajar terbesar dalam satu suku abad, kemungkinan besar menyurami sesi parlimen yang dibuka hari ini. Menteri Kewangan Arun Jaitley membentangkan belanjawan tahunan beliau pada minggu depan.

Beribu-ribu tentera dihantar untuk menumpaskan bantahan, yang meletus semalam berhampiran Sonipat apabila sebuah kereta api dibakar dan, menurut laporan berita, polis menembak mati tiga pembantah. Jat juga menyerang bas di negeri jiran Rajasthan.

Kesan gangguan yang timbul adalah besar, dengan sekurang-kurangnya 850 kereta api dibatalkan, 500 kilang ditutup dan kerugian perniagaan dianggarkan berjumlah AS$5 bilion oleh satu kumpulan lobi serantau. Pengeluar kereta terbesar India, Maruti Suzuki, menutup dua buah kilang pada hujung minggu disebabkan bekalan komponennya terjejas.

ARTIKEL YANG SAMA