Peniaga perlu beri kerjasama

Peniaga perlu beri kerjasama

OIeh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 25 Mei – Para peniaga disarankan supaya sama-sama menjaga kebersihan terutama di ruang berniaga mereka sendiri dan persekitarannya, serta sama-sama memberikan sokongan melibatkan diri semasa kempen kebersihan di bangunan tempat berniaga mereka, dan bukannya setakat menyerahkannya untuk ditangani oleh Jabatan Bandaran semata-mata.

Setiausaha Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Awang Sarih bin Tabong berkata, para peniaga telah dimaklumkan mengenai kempen kebersihan hari ini, tetapi malangnya, tidak ramai yang memberikan sokongan untuk melibatkan diri dengan pihak jabatan dalam usaha membersihkan bangunan.

“Sepatutnya para peniaga perlu juga memberikan kerjasama berhubung dengan kebersihan sesuai dengan hasrat Jabatan Bandaran supaya pasar di Daerah Belait kelihatan bersih dan yang penting menjaga perkara yang kurang sihat berhubung dengan kebersihan,” katanya.

Beliau menekankan perkara ini ketika ditemui semasa Kempen Kebersihan Kawasan Pasar neka Jalan Bunga Simpur dan Pasar Lama Jalan Mckeron dekat sini, pagi tadi.

Menurut beliau lagi, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria telah membuat perancangan sepanjang tahun mengikut tempat dan bangunan-bangunan komersial di bawah kendalian jabatan tersebut, seperti tamu, gerai dan pasar malam, dan akan diteliti balik dalam usaha menarik ramai pengunjung setiap hari.

Kempen kebersihan kawasan Pasar neka dan Pasar Lama melibatkan penyertaan beberapa agensi kerajaan, sektor swasta dan kakitangan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria serta beberapa penjaja pasar.
Kempen kebersihan kawasan Pasar neka dan Pasar Lama melibatkan penyertaan beberapa agensi kerajaan, sektor swasta dan kakitangan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria serta beberapa penjaja pasar.
Awang Sarih turut serta dalam kempen kebersihan berkenaan.
Awang Sarih turut serta dalam kempen kebersihan berkenaan.

pg07_150526_b

Ditanya tentang kurangnya sambutan pengunjung ke kawasan pasar neka, Awang Sarih memberitahu, di awal operasi, ia memang mendapat sambutan ramai, tetapi kini agak berkurangan.

“Ini adalah berkemungkinan disebabkan semakin banyaknya persaingan seperti pasar raya dan sebagainya, dan difahamkan jualan peniaga-peniaga di pasar neka juga hampir sama dengan jualan di tamu hujung minggu, apatah lagi di pasar raya semua keperluan boleh didapati, hanya mungkin pengunjung datang ke pasar neka jika ada keperluan lain,” ujarnya.

Hampir 100 orang yang melibatkan agensi-agensi kerajaan dan swasta, antaranya Jabatan Kerja Raya, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Alam Sekitar dan Rekreasi, Jabatan Daerah Belait, Syarikat Serikandi, dan Syarikat Mashhor General Contractor, serta beberapa penjaja pasar, telah menyertai kempen kebersihan berkenaan.

Ia merupakan salah satu rancangan tahunan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria bagi mengindahkan kawasan Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria yang mana kempen seumpama itu diserapkan mengikut penjadualan dalam aktiviti jabatan dari semasa ke semasa.

Kempen melibatkan kerja-kerja membersihkan di dalam bangunan pasar neka dan Pasar Lama dan sekitarnya termasuk longkang-longkang, memotong pokok, mengutip sampah, memotong rumput dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA