Peniaga PPBG, foodpanda Brunei bekerjasama

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Pasar Pelbagai Barangan Gadong (PPBG) kini bekerjasama dengan foodpanda Brunei bagi menghantar makanan kegemaran ke pintu para pelanggan dengan setakat ini melibatkan tiga buah gerai di PPBG.

Sehubungan itu, penandatangan perjanjian di antara para peniaga dan foodpanda Brunei telah diadakan hari ini, yang mana perjanjian itu bertujuan untuk meningkatkan penjualan para peniaga tempatan, sekali gus meningkatkan keselesaan serta kemudahan kepada orang ramai.

Peniaga yang terlibat adalah Marvelous Takoyaki yang diwakili oleh Dayang Norhani binti Haji Awang Damit, C Boboi Burger yang diwakili oleh Awangku Mohd Adi Bul Azim bin Pengiran Haji Amar Dani dan Master Char Kway Teow yang diwakili oleh Awang Erwanshah bin Haji Habolashah.

Manakala itu, foodpanda Brunei diwakili oleh Pengurus Penjualan dan Pemasaran, Awang Nabil bin Ibrahim.

Ini merupakan fasa pertama bagi para peniaga di PPBG menyertai inisiatif berkenaan dan PPBG berharap untuk dapat menggalakkan lebih ramai lagi peniaga di PPBG untuk menggunakan platform perkhidmatan penghantaran bagi menghantar makanan-makanan mereka di seluruh Daerah Brunei dan Muara.

Peniaga-peniaga PPBG bergambar ramai bersama kakitangan foodpanda Brunei.

Menurut Awang Erwanshah, inisiatif ini merupakan salah satu cara untuk mendedahkan orang ramai tentang gerai-gerai yang ada terdapat di PPBG, selain memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk memesan makanan daripada mereka.

“Selain itu juga, inisiatif seperti ini dapat meluaskan lagi pemasaran kami,” tambahnya.

Dayang Norhani pula mengongsikan bahawa ini merupakan pengalaman baru mereka untuk melibatkan diri dengan inisiatif tersebut.

“Tambahan juga, terdapat pelanggan-pelanggan yang meminta untuk menghantar makanan tetapi memandangkan kami tidak mempunyai tenaga kerja yang cukup, oleh yang demikian dengan inisiatif ini, sememangnya kami setuju untuk melibatkan diri dengan

inisiatif ini,” jelas Dayang Norhani sambil menambah, dengan adanya inisiatif ini juga, ia dapat menunaikan permintaan para pelanggan selama ini.

Manakala itu, bagi Awangku Adi Bul Azim, inisiatif kerjasama itu diharap dapat memperluaskan dagangan mereka untuk mendapatkan lebih banyak keuntungan.

“Ini menjadi kemudahan kepada orang ramai yang mahu membeli makanan di sini tetapi mempunyai halangan seperti tidak mempunyai kenderaan, mereka dapat menggunakan perkhidmatan ini untuk memesan makanan kami di sini,” jelasnya.