Peniaga pusat lelong curi 250 tan barangan antik

Peniaga pusat lelong curi 250 tan barangan antik

PARIS, 15 Mac (AFP) – Penjaga-penjaga dari pusat lelong paling terkenal di Paris dibicarakan semalam, dituduh secara teratur mencuri 250 tan barangan antik berharga, batu permata dan karya seni, termasuklah lukisan Chagall dan porselin dinasti Ming yang jarang sekali ditemui.

Kira-kira 40 orang “Col Rouge” (kolar merah) digelar sempena uniform mereka, bersama-sama enam pelelong dari pusat lelong hotel Drouot dibicarakan atas dakwaan pencurian berkumpulan, berkonspirasi melakukan jenayah atau mengendali barang curi.

Kes ke atas para pekerja itu dilancarkan dalam tahun 2009 selepas maklumat tanpa nama memaklumkan para penyiasat tentang lukisan Gustave Courbet yang hilang ketika sedang dibawa dalam tahun 2003.

Para penyiasat mengatakan pencurian oleh para penjaga – dikenali sebagai “Les Savoyards” kerana semua anggota kumpulan rahsia itu berasal dari rantau Savoie, Alpine.

Serbuan telah mendapati timbunan harta karun, termasuklah batu permata berharga dan perabot antik yang telah dilaporkan hilang – dan gaya hidup mewah para penjaga.

Seorang dari mereka memiliki Porsche 911 dan cabriolet BMW terbaru, manakala seorang lagi dikatakan telah membeli sebuah bar di Paris dengan hasil jenayah mereka itu.

Mereka dituduh mencuri objek-objek yang dihantar oleh pusat lelong itu untuk membersihkan rumah milik orang kaya selepas kematian mereka, dengan mengambil barangan yang tidak disenaraikan dalam inventori. Sesetengah barang kemudian telah dijual di pusat lelong itu.

Menurut pendakwaan, amalan itu – dikenali sebagai ‘la yape’ yang bermaksud ‘curi’ dalam slanga Savoie – adalah endemik dan keuntungan dikongsi dalam kalangan kumpulan itu.

“Col Rouge” yang memakai uniform hitam dengan kolar merah telah memonopoli pengangkutan dan pengendalian barangan berharga untuk pusat lelong Hotel Drouot sejak 1860.

Keanggotaan kesatuan itu dengan ketat dikawal dan terbatas kepada 110.