Peniaga Tamu Kianggeh akan dipindah ke Gadong

Peniaga Tamu Kianggeh akan dipindah ke Gadong

Oleh Siti Nur Wasimah S & Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Dis – Para peniaga di Tamu Kianggeh, ibu negara akan dipindahkan ke kawasan Tamu Baru Gadong bermula hujung bulan Januari atau awal Februari, tahun depan.

Perkara ini telah pun disahkan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong apabila ditemui pihak Media Permata semasa membuat lawatan ke tapak projek pembinaan jambatan dari Sungai Kebun ke Jalan Residency, di sini, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Pehin, kemudahan-kemudahan di kawasan tamu baru berkenaan telah pun disediakan oleh pihak kerajaan sejak beberapa tahun yang lalu dan haruslah diguna pakai dengan sebaik-baiknya.

Para peniaga di Tamu Kianggeh akan dipindahkan ke kawasan Tamu Baru Gadong bermula hujung bulan Januari atau awal Februari, tahun depan. – Gambar Azrol Azmi
Para peniaga di Tamu Kianggeh akan dipindahkan ke kawasan Tamu Baru Gadong bermula hujung bulan Januari atau awal Februari, tahun depan. – Gambar Azrol Azmi

“Adalah hasrat pihak kerajaan untuk menjadikan Bandar Seri Begawan sebagai sebuah bandar yang cantik, indah serta bersih,” ujar beliau.

Dengan pemindahan para peniaga berkenaan, Yang Berhormat Pehin berkata, ia akan dapat memberikan peluang kepada pihak yang berkepentingan untuk membersihkan kawasan di Tamu Kianggeh kerana ada perancangan kawasan itu akan dimajukan pada masa hadapan.

Pihak kementerian juga akan bekerjasama dengan agensi yang bertanggungjawab terhadap kawasan berkenaan.

Yang Berhormat Pehin menyatakan lagi bahawa pihak kerajaan akan mengadakan taklimat bersama para peniaga Tamu Kianggeh sebelum akhir tahun ini mengenai proses pemindahan itu nanti.

ARTIKEL YANG SAMA