Penilaian RM7.41 bilion Bandar Malaysia diselaraskan

Penilaian RM7.41 bilion Bandar Malaysia diselaraskan

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) – Penjualan 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia kepada sebuah konsortium Malaysia-China yang bernilai RM7.41 bilion akan diselaraskan bagi mencerminkan liabiliti-liabiliti tertentu seperti kos penempatan semula berkaitan dengan tanah tersebut, kata 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata pelarasan tersebut mungkin bergantung kepada sama ada liabiliti-liabiliti tertentu berkenaan Bandar Malaysia boleh dipindahkan kepada Konsortium tersebut, sebagai contoh, baki kos kontrak untuk proses penempatan semula kemudahan sedia ada serta hutang sukuk Bandar Malaysia.

“Perjanjian yang ditandatangani antara pihak-pihak terbabit pada 31 Disember 2015 mempunyai mekanisme teguh dan objektif untuk menentukan, antaranya, hal-hal seperti ini, yang telah mendapat komitmen semua pihak,” kata syarikat itu.

Minggu lepas, 1MDB memeterai perjanjian jual beli saham dengan konsortium Iskandar Waterfront Holdings Bhd (IWH)- China Railway Group Ltd (CREC) untuk menjual 60 peratus ekuiti dalam projek Bandar Malaysia bernilai RM7.41 bilion.

Sementara itu, mengenai pengumuman yang dibuat oleh syarikat induk CREC, China Railway Group Ltd, 1MDB berkata jumlah yang dinyatakan oleh syarikat itu bukan merujuk kepada penilaian jualan tanah, tetapi kepada anggaran saham mereka dalam nilai ekuiti bersih projek bandar Malaysia.

Syarikat itu berkata, ia berdasarkan andaian-andaian tertentu, yang tertakluk kepada perbincangan lanjut ketika tempoh penyelesaian antara Januari dan Jun tahun ini.

Titik permulaan sebarang perkiraan nilai ekuiti bersih ialah penilaian jualan tanah iaitu RM12.35 bilion, di mana 60 peratus pegangan Konsortium tersebut bersamaan dengan RM7.41 bilion.

“Inilah asas di mana perkiraan deposit 10 peratus bernilai RM741 juta dibuat dan dipersetujui oleh kesemua pihak,” kata syarikat itu.

China Railway Group, dalam pengumuman kepada Bursa Saham Hong Kong semalam berkata kos pembelian itu ialah RM5.28 bilion.

Bagaimanapun, 1MDB berkata ia kini menumpukan usaha untuk mengambil langkah-langkah yang perlu dan memperoleh kebenaran yang berkenaan bagi melaksanakan perjanjian yang sah dari segi undang-undang yang ditandatangani pada 2015.

Syarikat itu berkata perjanjian itu termasuk penjualan Edra Global Energy Bhd dan penukaran hutang untuk aset dengan IPIC dan penjualan 60 peratus ekuiti dalam projek Bandar Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA