Peningkatan kes HIV

Peningkatan kes HIV

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 April – Statistik daripada Kementerian Kesihatan pada tahun lalu menunjukkan bahawa Brunei Darussalam telah merekodkan jumlah tahunan tertinggi bagi kes-kes HIV baru iaitu sebanyak 28 kes dilaporkan, berganda daripada jumlah kes yang dilaporkan pada 2014.

Presiden Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDNOC), Awang Iswandy bin Ahmad (gambar) berkata, tujuh daripada 28 kes yang dilaporkan itu adalah dalam kalangan wanita.

“Peningkatan jumlah keseluruhan kes dalam kalangan wanita menunjukkan trend yang membimbangkan di mana, pada tahun-tahun sebelumnya, wanita hanya merangkumi jumlah minoriti yang sangat kecil dalam kes-kes HIV,” ujarnya dalam satu kenyataan mengumumkan mengenai penganjuran Larian Reben Merah pada 10 April ini.

Larian yang akan bermula di Pusat Promosi Kesihatan itu merupakan usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran mengenai HIV dan AIDS serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya di Negara Brunei Darussalam.

Menurut Awang Iswandy, Brunei Darussalam sentiasa menekankan bahawa kunci kepada tindak balasnya kepada epidemik HIV adalah melalui pendekatan bersepadu pelbagai sektor melibatkan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan pihak berkepentingan yang lain seperti BDAC dan Bank Standard Chartered, di samping Kementerian Kesihatan sebagai agensi pemimpin.

Iswandy Ahmad from EM-POWER IGS speaks at the event.

“BDAC meluahkan kebimbangannya mengenai peningkatan besar dan jumlah kes-kes berkenaan dan percaya bahawa usaha-usaha yang diketuai oleh Kementerian Kesihatan untuk menangani isu ini patut mempunyai sokongan lebih kuat daripada dan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain.”

Usaha-usaha ini, katanya lagi, patut memfokuskan lagi ke atas meningkatkan kesedaran dan pendidikan mengenai pencegahan HIV dan jangkitan-jangkitan melalui hubungan seksual (STI) terutamanya dalam kalangan kumpulan-kumpulan paling berisiko.

“Dalam hal ini, BDAC percaya bahawa pengenalan pendidikan reproduktif yang komprehensif di sekolah-sekolah akan memainkan peranan besar dalam mengurangkan jumlah kes-kes HIV dalam jangka masa panjang.

“Pada masa yang sama, BDAC juga percaya bahawa sebarang respons patut dihormati dan menghormati hak asasi orang yang dijangkiti HIV (PLHIV) dan penduduk paling berisiko yang mungkin mengalami diskriminasi dan stigma berdasarkan status mereka,” tambahnya.

Larian Reben Merah akan menjadi platform untuk menyebarkan kesedaran mengenai faktor risiko HIV, bagi mengurangkan stigma tidak baik HIV dan AIDS dalam kalangan masyarakat, selain menggalakkan orang yang berisiko supaya mendapatkan ujian di kesemua pusat-pusat kesihatan kerajaan atau klinik persendirian.

Di samping itu, ia juga diharapkan untuk menghapuskan larangan mengenai isu berkenaan bagi pencegahan jangkitan baru dan rawatannya yang lebih baik.

Semua hasil daripada larian berkenaan akan digunakan bagi mempertingkatkan program-program kesedaran HIV dan AIDS serta program-program pemerkasaan belia sedia ada yang dikendalikan BDAC.

ARTIKEL YANG SAMA