Peningkatan pelancong tingkat pendapatan masyarakat

Peningkatan pelancong tingkat pendapatan masyarakat

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 25 Feb – Berdasarkan statistik data lawatan dan pendapatan Daerah Tutong pada tahun 2013 hingga 2015 melalui rekod Bahagian Korporat, Jabatan Daerah Tutong, terdapat peningkatan kunjungan pelancong dan pelawat ke daerah ini, yang sekali gus meningkatkan pendapatan masyarakat di daerah ini.

Oleh itu, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam berkata Bengkel Jurupandu Pelancong Destinasi Tutong merupakan salah satu inisiatif bagi mempromosikan Daerah Tutong sebagai Daerah Destinasi melalui Program Destinasi Tutong.

Beliau berkata sedemikian ketika menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada majlis penutup dan penyampaian sijil bagi bengkel berkenaan yang diadakan di Jabatan Daerah Tutong, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan garapan agar seumpama ini akan dapat diteruskan dan dijadikan sebagai satu projek berterusan bagi menggalakkan penglibatan dan mengadakan kolaborasi dengan ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung di daerah ini yang berpotensi dan berkemahiran agar informasi mengenai sesebuah kampung dan tempat-tempat yang menarik di daerah ini dapat disalurkan dengan tepat, jelas dan menarik.

Penyampaian sijil peserta bengkel telah disampaikan oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong.
Penyampaian sijil peserta bengkel telah disampaikan oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong.

Seramai 20 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan Jabatan Daerah Tutong, ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung di Daerah Tutong dan sukarelawan Daerah Tutong, para belia dan pencari kerja di daerah ini telah berjaya menamatkan bengkel tersebut dan menerima sijil masing-masing daripada tetamu kehormat.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah para jemputan yang terdiri daripada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, pengerusi Bandaran Tutong, pegawai kanan kerajaan, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta ketua rumah panjang Daerah Tutong.

Bengkel yang dianjurkan oleh Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Pelancongan , Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan serta disokong oleh Jabatan Daerah Tutong telah diadakan selama dua hari sejak kelmarin.

Bengkel tersebut bukan sahaja memberi pendedahan tentang teknik serta ilmu sebagai jurupandu pelancong yang berpotensi, malah ia juga boleh dijadikan sebagai kerjaya yang membuka peluang-peluang pekerjaan kepada masyarakat melalui aktiviti pelancongan di daerah ini, sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan ekopelancongan melalui Program Satu Kampung Satu Produk (1K1P).

ARTIKEL YANG SAMA