Peningkatan renminbi beri impak global

Peningkatan renminbi beri impak global

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) – Impak ekonomi China ke atas Asia sangat penting, dengan kebanyakan negara kini mengharapkan China menjadi rakan dagang terbesar mereka, dan dalam sesetengah kes, sebagai pelabur asing terbesar, menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Dalam perubahan asas ekonomi, peningkatan renminbi, walaupun secara beransur-ansur, tidak dapat dielakkan dengan implikasi penting bukan sahaja ke atas Asia malah kepada seluruh dunia.

Zeti berkata sudah pasti, renminbi kini lebih penting kepada Asia berbanding tempat lain.

“Berdasarkan kedudukan ini, Asia, termasuk Malaysia, mesti bersedia untuk menghadapi pengantarabangsaan renminbi dan potensinya ke arah penyepaduan dan sekali gus menyumbang ke arah meneroka seterusnya potensi rantau ini,” kata beliau pada Forum Renminbi HSBC di sini hari ini.

Beliau berkata BNM akan meningkatkan lagi kerjasama kewangan dengan Bank Rakyat China dalam aspek Pelabur Institusi Asing Berkelayakan Renminbi bagi menyediakan saluran alternatif kepada pelabur Malaysia untuk melabur dalam pasaran kewangan China.

Zeti berkata penyelesaian perdagangan dan pelaburan dalam renminbi telah menurunkan kos dengan ketara dan mempromosi aktiviti perdagangan dan pelaburan merentas sempadan yang lebih besar.

Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. – Reuters
Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. – Reuters

“Institusi dan syarikat seperti Khazanah, Cagamas, Axiata Malaysia dan Maybank sudah menerbitkan bon renminbi.

“Menerusi pelbagai kemudahan kewangan renminbi yang diperkenalkan bagi menyokong perdagangan, pelaburan dan aliran kewangan antara Malaysia dan China, trend ini dijangka meningkat,” katanya.

Sehingga ini, penggunaan renminbi di Malaysia telah berkembang pesat, dengan saiz harian jumlah pertukaran asing renminbi sebanyak 6.7 bilion renminbi.

Zeti menggesa entiti Malaysia yang mempunyai rangkaian serantau yang besar supaya menimbang menggunakan Malaysia sebagai pusat transaksi renminbi serantau mereka yang membantu untuk menyumbang ke arah skala ekonomi yang lebih besar.

Ini seterusnya akan membolehkan urus niaga tersebut dijalankan secara lebih cekap dan menguntungkan dari segi kos, katanya. “Lebih banyak perdagangan berasaskan renminbi di rantau ini akan mewujudkan kumpulan kecairan renminbi, yang akan mewujudkan permintaan bagi instrumen. “(Ini) akan seterusnya merangsang pembangunan pasaran modal renminbi yang lebih cekap dan bersepadu di rantau ini, yang boleh menyumbang ke arah pengantaraan yang lebih baik antara lebihan dan defisit di rantau ini,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA