Peningkatan sentimen perlindungan perdagangan hanya sementara – Mustapa

Peningkatan sentimen perlindungan perdagangan hanya sementara – Mustapa

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Arus perlindungan terhadap perdagangan yang semakin meningkat di peringkat global dijangka hanya untuk sementara dan akan bergantung kepada usaha kerajaan masing-masing untuk menangani isu berkenaan, kata Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, peningkatan gerakan antiglobalisasi terbukti dengan Brexit, undian oleh warga negara Britain untuk keluar daripada Kesatuan Eropah.

“Memang benar terdapat peningkatan tekanan perlindungan, orang ramai tidak selesa yang perdagangan tidak memberi manfaat kepada mereka.

“Oleh itu kita perlu memastikan yang perdagangan memanfaatkan semua orang dan bukan sahaja syarikat besar, tetapi pekebun kecil juga mendapat faedah daripada pasaran terbuka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Forum Integrasi Ekonomi ASEAN 2016 di sini, hari ini.

Mustapa berkata, sentimen perlindungan seperti itu juga wujud di Malaysia kerana sebahagian penduduk tidak selesa dengan pemilikan asing tetapi pendirian kerajaan adalah untuk begerak ke depan dan melaksanakan liberalisasi.

Menurutnya, negara anggota ASEAN bekerjasama rapat untuk menyelesaikan isu bukan tarif.

“Kita yakin akan berlaku pengurangan dalam halangan bukan tarif (di negara ASEAN). Jika terdapat sebarang bentuk perlindungan, ia akan hanya untuk sementara kerana dalam jangka lebih panjang, orang ramai akan sedar mengenai manfaat ekonomi yang lebih terbuka dan bebas,” tambahnya.

Negara anggota ASEAN telah menghapuskan 93.9 peratus daripada 506 halangan bukan tarif yang ditonjolkan pada kad skor Komuniti Ekonomi ASEAN.

Sementara itu, Mustapa membidas tindakan pihak tertentu yang menyebarkan mesej di media sosial yang memberi maklumat tidak tepat mengenai ekonomi negara.

Katanya, pihak yang menyebarkan maklumat sedemikian disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan cuba menggugat kestabilan ekonomi negara.

“Kita bukan berada dalam penafian. Dahulu kita tumbuh enam hingga tujuh peratus tetapi pada masa itu kita mula membangun. Sekarang, pertumbuhan empat hingga lima peratus adalah munasabah dalam keadaan semasa kerana ekonomi kita sudah menjadi semakin matang,” katanya.

Menurutnya, pertumbuhan negara adalah lebih baik berbanding negara maju yang rata-ratanya tumbuh sekitar satu peratus. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA