Penipuan, gangguan siber dahului senarai

Penipuan, gangguan siber dahului senarai

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) – CyberSecurity Malaysia menerima sebanyak 6,800 laporan insiden keselamatan siber sehingga Julai lepas, dengan penipuan, pencerobohan, gangguan siber mendahului senarai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Amirudin Abdul Wahab, berkata sebanyak 2,000 insiden penipuan dilaporkan, diikuti pencerobohan (814 insiden) dan gangguan siber (270 insiden).

Insiden keselamatan siber lain ialah laporan berkaitan kandungan, penghalang perkhidmatan, cubaan pencerobohan, kod berniat jahat, spam dan keterdedahan, katanya.

Amirudin berkata pendedahan kepada risiko ancaman siber kini tinggi berikutan hampir semua sektor awam dan swasta bergantung kepada teknologi komunikasi dan maklumat dalam perkhidmatan dan operasi perniagaan mereka.

Bagaimanapun, CyberSecurity Malaysia tidak mempunyai data penuh mengenai kejadian yang berlaku di Malaysia kerana ia bukan wajib untuk membuat laporan dan individu atau organisasi yang terlibat akan menanganinya sendiri, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dr Amirudin Abdul Wahab.
Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dr Amirudin Abdul Wahab.

“(Sehubungan itu), kami menggesa orang ramai dan organisasi membuat laporan kerana kami memerlukannya untuk memahami dan mengetahuinya dengan lebih lanjut dalam usaha memberi bantuan yang lebih baik,” katanya.

Amirudin berkata demikian pada Simposium Keselamatan Fortinet selama sehari dan bersempena dengan Anugerah, Persidangan dan Pameran – Keselamatan Siber Malaysia di sini dari 6 hingga 10 Sept.

Beliau berkata hubungan keselamatan siber yang paling lemah ialah masyarakat dan bukan teknologi sambil menambah wujud keperluan masyarakat diberi pendidikan mengenai kesedaran budaya keselamatan yang asas dan tidak sewenang-wenang berkongsi maklumat sulit mereka.

Mengenai perkembangan lain, Amirudin berkata, Malaysia menduduki tangga ketiga, berkongsi kedudukan sama dengan Oman dan Australia, dalam Indeks Keselamatan Siber Global 2014 yang dilaksanakan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam kalangan 193 buah negara, dan berada di belakang Amerika Syarikat dan Kanada, yang diumumkan awal tahun ini.

Beliau berkata ia berdasarkan lima indeks — tadbir urus, undang-undang, teknikal, pembangunan kapasiti dan kerjasama antarabangsa.

ARTIKEL YANG SAMA