Penjaga stor barang kes tidak simpan wang dirampas daripada penceroboh

Penjaga stor barang kes tidak simpan wang dirampas daripada penceroboh

KOTA KINABALU, 11 Dis (Bernama) – Seorang penjaga stor barang kes di Ibu Pejabat Polis Semporna memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa wang yang dirampas daripada suspek dalam kes pencerobohan di Lahad Datu tidak diletakkan di bawah jagaannya.

Kpl Yusnita Yusof berkata, dia akan merekodkan penerimaan setiap wang yang dirampas di dalam buku daftar barang kes sebelum menyerahkan wang berkenaan kepada ketua daerah polis untuk disimpan.

“Beliau (ketua daerah polis) akan menyimpan wang yang dirampas itu di dalam peti besi,” katanya.

Yusnita memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan kes pencerobohan lelaki Sulu bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013.

Anggota polis wanita itu berkata dia menerima beberapa barang kes pada Mac 2013, termasuk dokumen dan barangan digital yang mempunyai kaitan dengan kes pencerobohan di Lahad Datu.

Sebanyak 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan bagi pelbagai tuduhan, termasuk menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga didakwa merekrut aggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota sebuah kumpulan pengganas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 12 Feb dan 10 April 10, 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung pada 14 Dis ini.