Penjagaan kesihatan warga tua diperluas

Penjagaan kesihatan warga tua diperluas

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan terus berusaha memperluas dan meningkatkan lagi tahap keberkesanan penjagaan dan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dan penduduk di negara ini khususnya warga emas yang mengidap penyakit-penyakit kompleks dan memerlukan rawatan serta perkhidmatan perubatan yang komprehensif dan bersepadu.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Mohd Yusof berkata, mengikut kajian WHO, jumlah penduduk warga emas dan kes penyakit-penyakit tidak berjangkit secara global adalah semakin meningkat dan mengakibatkan bebanan dan cabaran kepada sistem kesihatan sesebuah negara.

Katanya, menyedari akan cabaran-cabaran dan keperluan penjagaan kesihatan kepada warga emas, apatah lagi dengan jumlahnya yang meningkat dari semasa ke semasa, maka kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Kementerian Kesihatan terus berusaha untuk meningkatkan dan memperluaskan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada golongan ini dengan memperkenalkan perkhidmatan geriatrik (golongan warga emas).

Yang Berhormat Pehin berkata demikian semasa berucap merasmikan Pusat Amal Cerah Sejahtera (PACS), yang terletak di Kampung Belimbing, Jalan Subok, hari ini.

PACS merupakan salah satu projek Kementerian Kesihatan yang melibatkan perkhidmatan pelbagai peringkat kepakaran perubatan yang terdiri daripada doktor, jururawat dan para pegawai kesihatan bersekutu, bekerjasama menumpukan sepenuh perhatian mengenai rawatan dan penjagaan khas untuk pesakit-pesakit yang berkonsepkan pusat penjagaan pesakit.

Yang Berhormat Pehin beramah mesra dengan pesakit warga emas selepas merasmikan Pusat Amal Cerah Sejahtera (PACS), di Kampung Belimbing, Jalan Subok, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin beramah mesra dengan pesakit warga emas selepas merasmikan Pusat Amal Cerah Sejahtera (PACS), di Kampung Belimbing, Jalan Subok, kelmarin.

“Pada masa ini, kita telah mempunyai dua orang konsultan tempatan dalam bidang geriatrik dan dengan izin Allah seorang konsultan akan menamatkan bidang kepakaran berkenaan pada tahun 2016.

“Ini termasuklah juga meningkatkan kemahiran dan kepakaran dalam pelbagai profesion kesihatan seperti jururawat, pegawai-pegawai pemakanan serta pegawai-pegawai jurupulih anggota (fisioterapi) serta pegawai-pegawai sokongan yang khusus dalam bidang geriatrik,” ujar beliau.

Menurut Yang Berhormat Pehin, model perkhidmatan perubatan ini adalah sangat penting sebab para pesakit menghidapi penyakit-penyakit tidak berjangkit dan kompleks bukan hanya memerlukan rawatan penyakit sahaja, malahan ia memerlukan perkhidmatan perubatan yang komprehensif melalui pendekatan integrasi dan holistik.

Ini termasuk memerlukan kerjasama, sokongan yang padu dan penglibatan para ahli keluarga pesakit dan juga pihak swasta serta masyarakat pada umumnya untuk mencapai penjagaan kesihatan yang optimum kepada pesakit.

Sambil mengucapkan tahniah atas inisiatif yang sangat signifikan dalam memperkenalkan pembaharuan perkhidmatan yang disediakan di pusat tersebut, Yang Berhormat Pehin berkata, ia adalah atas berkat usaha kerjasama rapat melalui strategi menyeluruh yang merangkumi pelbagai disiplin bersepadu antara pakar perubatan geriatrik, paliatif, neurologi, rehabilitasi, dan penjagaan kesihatan asasi dengan perkhidmatan kejururawatan dan pegawai-pegawai kesihatan bersekutu seperti fisioterapi dan pemulihan cara kerja.

Katanya, pusat berkenaan telah pun menjalankan program rehabilitasi khas untuk pesakit demensia dengan aktiviti-aktiviti setiap minggu yang mendapat sambutan yang menggalakkan.

Beliau juga menyarankan agar pihak PACS akan terus melipatgandakan usaha dalam memberikan taklimat, bimbingan dan program latihan khusus untuk penjaga atau ahli keluarga pesakit, termasukkan khidmat nasihat rawatan dan penjagaan pesakit yang berkeadaan kompleks di rumah dan juga bagi mereka yang menerima rawatan di pusat berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA