Penjaja Daerah Belait undi petak gerai Ramadan

Penjaja Daerah Belait undi petak gerai Ramadan

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 29 Mei – Hanya tinggal kira-kira seminggu saja lagi seluruh umat Islam di negara ini akan menyambut kedatangan Bulan Ramadan, bulan suci yang bukan sahaja dapat melipatgandakan amalan malah membuka pintu rezeki kepada para peniaga dan penjaja.

Di negara ini, kemudahan untuk berjaja dalam bulan Ramadan sangat diberikan keutamaan oleh pihak-pihak berkenaan dengan menyediakan tempat khusus bagi para peniaga menjalankan perniagaan mereka di sepanjang bulan Ramadan.

Sehubungan itu, Bahagian Perlesenan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria telah mengadakan majlis pengundian bagi menetapkan petak-petak gerai para penjaja yang menyertainya tahun ini, yang akan dijangka bermula pada awal bulan Ramadan ini.

Majlis tersebut telah diadakan di Dewan Bandaran, kelmarin, di mana ia turut diisikan dengan penyampaian taklimat mengenai dengan pengendalian serta pengurusan gerai berkenaan.

Peniaga-peniaga yang hendak menyertai perniagaan di Gerai Ramadan melakukan pengundian di hadapan pegawai Bahagian Perlesenan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria untuk menetapkan petak jualan mereka.
Peniaga-peniaga yang hendak menyertai perniagaan di Gerai Ramadan melakukan pengundian di hadapan pegawai Bahagian Perlesenan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria untuk menetapkan petak jualan mereka.
Pegawai Bahagian Perlesenan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria semasa menyampaikan taklimat mengenai dengan pengendalian dan pengurusan Gerai Ramadan.
Pegawai Bahagian Perlesenan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria semasa menyampaikan taklimat mengenai dengan pengendalian dan pengurusan Gerai Ramadan.

Menurut jabatan tersebut, pada tahun ini mereka telah menerima sejumlah 212 permohonan untuk menyertai gerai jualan yang diadakan di kawasan Bangunan Tudung Saji Jalan Setia Diraja, dan 30 permohonan penyertaan di kawasan perkarangan Pasarneka Seria.

Seperti tahun-tahun yang sudah, jabatan tersebut telah membahagikan gerai Ramadan kepada beberapa kategori seperti jualan makanan dan minuman siap sedia, menyalai/membakar, runcit, perhiasan dan bunga hidup.

Gerai Ramadan akan mula beroperasi pada pukul 2 petang hingga 6 Petang sepanjang bulan itu nanti, sehubungan itu Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria mengalu-alukan orang ramai supaya berkunjung dan membeli-belah juadah berbuka puasa di gerai itu nanti.

Selain itu, jabatan juga mengingatkan kepada orang ramai terutama sekali para peniaga di gerai berkenaan untuk sentiasa menjaga kebersihan persekitaran dan membuang sampah sarap di tempat yang telah disediakan selain menyediakan makanan bersih dan sihat.

ARTIKEL YANG SAMA