Penjaja diusi...

Penjaja diusir untuk kurangkan kesesakan bandar

BANGKOK – Para pegawai Thailand akan membuat tindakan keras untuk membasmi kesibukan ibu negaranya. Mereka kini menyasarkan sasaran baru iaitu pad thai, sejenis hidangan tempatan yang murah dan sedap.

Para pegawai di Bangkok akan membuat tindakan keras terhadap para penjual yang menjual pelbagai makanan termasuk mi Thailand yang terkenal dengan rasa sup pedas tom yum goong di ibu negara yang panas dan lembap itu.

Gerai-gerai yang dilengkapi dengan meja-meja logam yang dapat dilipat dan kerusi-kerusi plastik yang usang menghidangkan makanan dengan harga yang berpatutan untuk para pelanggan yang mementingkan bajet dan para pelancong yang sukakan pengembaraan.

“Makanan jalanan adalah perkara penting dalam kehidupan sehari-hari saya,” kata Nont Nontiskul, 29, broker saham yang telah menetap di kawasan Thonglor yang bergaya selama lebih sedekad. “Orang yang selalu makan di restoran mahal juga tidak dapat mengelak daripada menikmati makanan jalanan. Ia pantas, lebih sedap dan lebih murah.”

Para pegawai melihat makanan jalanan sebagai perkara yang mengganggu dan tidak sah di sisi undang-undang. Mereka telah memberi amaran kepada para penjaja di Thonglor untuk mengosongkan tempat itu.

Gerai makanan jalanan yang menghidangkan makanan dengan harga yang berpatutan untuk para pelanggan yang mementingkan bajet dan para pelancong yang sukakan pengembaraan. – AP
Gerai makanan jalanan yang menghidangkan makanan dengan harga yang berpatutan untuk para pelanggan yang mementingkan bajet dan para pelancong yang sukakan pengembaraan. – AP
Para penjaja makanan jalanan diarahkan untuk mengosongkan laluan pejalan kaki.
Para penjaja makanan jalanan diarahkan untuk mengosongkan laluan pejalan kaki.

Mereka memberitahu bahawa pengusiran juga akan dilakukan di kawasan kejiranan lain tidak lama lagi. Para pegawai telah diarahkan oleh junta tentera yang memerintah negara itu sejak rampasan kuasa pada tahun 2014 dan telah menekankan keperluan untuk ‘membersihkan’ masyarakat Thailand, sama ada dari segi ahli politik yang tidak berakhlak atau laluan jalan yang sesak.

Ini telah menyebabkan tindakan keras yang tidak teratur dilakukan ke atas pasar jalanan. Para pemerhati mengatakan bahawa masyarakat miskin yang kebanyakannya penyokong kerajaan yang telah digulingkan dan polisi populis, menanggung beban dari kempen-kempen yang disokong oleh junta tentera.

Sementara itu, para penjaja dan pelanggan mereka dari kelas sederhana adalah pihak yang paling terkesan dari usaha pengosongan laluan jalan yang bakal dilakukan.

Tindakan keras Thailand terhadap rasuah, pelacuran, pencemaran, keselamatan jalan dan lain-lain, dianggap sebagai tindakan yang tidak akan berlangsung lama, walaupun ia diarahkan oleh junta. Meskipun begitu, para pegawai mengatakannya bersungguh-sungguh.

Boontham Huiprasert, ketua daerah di Bangkok diarahkan untuk mengosongkan laluan jalan kaki di bawah bidang kuasanya. Dia memberitahu bahawa para penjaja makanan jalanan akan diusir bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan perkumpulan sampah.

Sekitar 90 penjaja Thonglor diarahkan untuk mengosongkan tempat itu. Selepas itu, tindakan keras akan dilaratkan ke jalan-jalan kawasan kejiranan lain, kata Boontham. Pesalah akan didenda sehingga 2,000 baht (AS$57).

“Jangan berniaga di laluan pejalan kaki,” kata Boontham. “Orang yang berniaga di laluan pejalan kaki tidak membayar sewa. Jumlahnya sudah menjadi semakin banyak sekarang, jadi kami harus membuat sesuatu.”

Tetapi hakikatnya, para penjaja makanan memberitahu bahawa mereka membayar sewa kepada para pegawai bandar secara bersembunyi pada setiap bulan. Ia merupakan rahsia yang diketahui. Mereka boleh berjaja dengan syarat mereka memberikan ganjaran kepada orang yang mempunyai kuasa, selalunya orang yang mempunyai kaitan dengan polis atau tentera. Boontham memberitahu bahawa dia tidak mengetahui wujudnya pemberian ganjaran tersebut dan mengatakan bahawa itu bukanlah perkara rasmi.

Para penjaja makanan jalanan akan diusir bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan perkumpulan sampah. – AP
Para penjaja makanan jalanan akan diusir bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan perkumpulan sampah. – AP
Pad Thai, antara makanan jalanan terkenal di bandar Bangkok.
Pad Thai, antara makanan jalanan terkenal di bandar Bangkok.

Suchin Wannasutr telah melakukan aktiviti perniagaan makanan di laluan pejalan kaki Thonglor selama lebih 20 tahun. Lelaki yang berusia 47 tahun itu memberitahu bahawa dia sentiasa membayar sewa bulanan sebanyak 1,000 baht (AS$28.60). Para penjaja lain juga mengatakan mereka telah dikenakan dengan jumlah yang sama.

Dia kini sedang bersedia untuk membuka sebuah restoran, sekitar 1.5 kilometer dari tempat laluan pejalan kaki itu. Dia akan berkongsi sewa sebanyak 35,000 baht (AS$1,000) sebulan dengan tiga orang lagi penjual makanan jalanan lain.

“Saya perlu kekal aktif berniaga di kawasan ini kerana saya mempunyai pelanggan tetap,” kata Suchin. “Saya melakukan segala yang termampu untuk menghantar anak saya ke sekolah. Setelah dia mendapat ijazah, saya akan berpindah dari Bangkok. Kehidupan sangat susah di sini.”

Para pengkritik mengatakan bahawa kerajaan perlu membantu para penjaja dan memelihara sebahagian dari keunikan yang menjadi jiwa Bangkok, yang kerap hilang disebabkan oleh undang-undang kerajaan dan pembangunan kondominium, kompleks beli-belah serta menara pejabat.

Jika kempen menentang makanan jalanan masih lagi berterusan, para pelancong tidak lagi akan menemui cacing goreng atau buah durian yang berbau. Bar-bar dan restoran-restoran mahal tidak mungkin akan memberikan makanan dalam beg plastik yang berikat.

“Saya rasa seolah-olah kehilangan kerja dan saya tidak tahu apa yang akan saya lakukan selepas ini,” kata Ubolwattana Mingkwan yang berusia 39 tahun yang menjual kopi dengan harga 30 baht (85 sen). “Saya tidak mampu untuk membayar sewa Thonglor.”

“Saya telah meminta tolong dari para pegawai dan meminta tolak-ansur mereka,” katanya. “Tapi mereka hanya mengatakan ‘Tidak, tidak tidak”. Mereka berkata bahawa mereka telah diberikan arahan.” – AP