Penjaja warga asing dikeluarkan pas khas

Penjaja warga asing dikeluarkan pas khas

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 8 Jun – Seorang lelaki warga asing yang menjalankan aktiviti berjaja makanan dan minuman kepada pekerja-pekerja warganegara asing lain di sekitar kawasan Panaga Seria telah dikeluarkan pas khas apabila didapati memegang pas lawatan sosial sahaja.

Pas khas bagi siasatan dan tindakan selanjutnya itu dikeluarkan semasa pemeriksaan rutin Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), hari ini.

Pemeriksaan itu melibatkan lima orang pegawai daripada jabatan berkenaan dan menyasarkan aktiviti berjaja makanan dan minuman di kawasan Panaga Seria.

Sehubungan itu, Pemangku Ketua Pegawai Imigresen Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Kuala Belait sekali lagi mengingatkan para majikan dan mana-mana warganegara asing supaya sentiasa patuh dan tidak melanggar sebarang undang-undang yang telah diperuntukkan oleh jabatan berkenaan.

Lelaki warganegara asing dikeluarkan pas khas setelah didapati melanggar peraturan dan undang-undang JIPK.
Lelaki warganegara asing dikeluarkan pas khas setelah didapati melanggar peraturan dan undang-undang JIPK.

Beliau juga menekankan bahawa Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang JIPK akan sentiasa menjalankan atau melaksanakan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan berterusan sama ada secara persendirian atau bersama dengan agensi penguatkuasaan lainnya.

Ke arah aktiviti penguatkuasaan tersebut orang ramai dialu-alukan supaya dapat memberikan kerjasama dengan memaklumkan mengenai pesalah-pesalah imigresen dengan menghubungi Hotline JIPK di talian 8753888 atau 8734888.

Sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA