Penjana industri kreatif

Penjana industri kreatif

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Dis – Seni fotografi adalah unik dan meluas serta mempunyai kekuatan dalam tiga bidang iaitu merakam peristiwa penting; kedua sebagai penyumbang kepada ekonomi amnya dan industri kreatif khususnya dan ketiga dalam meningkatkan nilai estetika dan kesenian.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof menekankan perkara itu ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam (PFNBD) ke-35 di Dewan Silaturahim, Pusat Belia hari ini.

Menurut Yang Berhormat Pehin, fotografi begitu signifikan kepada bangsa dan negara terutamanya dalam merakamkan peristiwa yang boleh menjadi ristaan dan mendokumentasikan serta mengabadikan peristiwa berkenaan dalam bentuk yang jelas.

Peristiwa-peristiwa yang dirakamkan sama ada dalam bentuk kenegaraan atau pengalaman peribadi memperkaya dan melestarikan bahan sejarah, malah boleh dijadikan bahan penyelidikan dan bukti penyiasatan. Manakala dalam sumbangannya kepada ekonomi dan industri kreatif, kepakaran dalam bidang fotografi dan penyebarannya merupakan aset bernilai yang menjana industri kreatif, terutamanya dalam dunia yang dipelopori kepentingan media dan maklumat, tambah Yang Berhormat Pehin.

PFNBD juga dipuji kerana berjaya menghasilkan pakar dalam dunia fotografi yang dibanggakan dalam dan luar negara sehingga ada yang mendapat anugerah pada peringkat antarabangsa, contohnya menjadi Ahli Kehormat Federation of Asian Photographic Arts, Photographic Society of Los Angeles dan sebagainya.

Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menyampaikan ucapan.
Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menyampaikan ucapan.

Untuk itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan jabatan-jabatan berkepentingan dan persatuan seperti PFNBD boleh menjadi rakan strategik bagi merealisasikan matlamat kementerian.

“Saya percaya dengan kerjasama yang erat antara pihak persatuan dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan khususnya, dan pihak kerajaan amnya akan dapat melaksanakan pelbagai projek dan program bagi pembangunan belia terutama di dalam kemahiran dan keusahawanan.”

Peranan PFNBD, jelas Yang Berhormat Pehin, dalam membimbing dan memberikan kemahiran serta pengetahuan dalam fotografi kepada para belia adalah sangat relevan sejajar dengan perubahan teknologi terkini dan dapat menghasilkan belia-belia yang mempunyai kemahiran untuk diperkembangkan dan menjadi pemangkin bagi perkembangan industri kreatif.

Yang Berhormat Pehin seterusnya mencadangkan agar PFNBD dapat bekerjasama dengan Jabatan Muzium-muzium atau Pusat Sejarah untuk mengadakan pameran gambar-gambar lama yang mempunyai nilai sejarah negara dan budaya bangsa secara bejadual.

Dengan itu, ia akan dijadikan tumpuan tontonan, kunjungan penyelidikan dan ristaan kepada orang ramai termasuk para pelajar dan belia selaku generasi penerus kemapanan bangsa dan negara.