Penjanaan modal rentas sempadan di ASEAN lebih mudah

Penjanaan modal rentas sempadan di ASEAN lebih mudah

SINGAPURA, 4 Sept (Bernama) – Pihak Berkuasa Kewangan Singapura dan Bursa Singapura (SGX), bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Thailand mengeluarkan buku panduan untuk melaksanakan Rangka Kerja Semakan yang Diperkemas bagi Prospektus Bersama ASEAN.

Dalam kenyataan bersama, MAS dan SGX berkata di bawah rangka kerja itu, penerbit ASEAN yang merancang penawaran pelbagai bidang kuasa ekuiti atau sekuriti hutang dapat menjangka masa terbitan ke pasaran yang lebih singkat dan akses kepada modal di seluruh rantau ini dengan lebih cepat.

Rangka kerja ini menghendaki pihak berkuasa tempatan menyiapkan proses semakan prospektus pada masa sama, dalam tempoh tiga hingga empat bulan dari tarikh penyerahan.

Buku tersebut menyediakan garis panduan yang terperinci berhubung aspek operasi rangka kerja itu, termasuk kriteria penerbit.

Rangka kerja itu merupakan inisiatif di bawah Pelan Pelaksanaan Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF).

Ia mendapat kelulusan Menteri-Menteri Kewangan ASEAN untuk meningkatkan tarikan ASEAN sebagai pusat penjanaan dana.

ACMF ditubuhkan pada 2004 bertujuan menggalakkan aliran modal yang lebih bebas dan hubungan pasaran modal ASEAN yang lebih baik.

Inisiatif utama lain di bawah ACMF termasuklah Capaian Perdagangan ASEAN antara bursa serantau; rangka kerja bagi Mempercepatkan Kemasukan Penyenaraian Kedua untuk membolehkan masa terbitan ke pasaran dengan lebih singkat bagi syarikat korporat mencari penyenaraian kedua; dan Standard Pendedahan ASEAN untuk memudah cara penawaran pelbagai bidang kuasa ke atas ekuiti dan hutang.

ARTIKEL YANG SAMA