Penjara 12 bulan tinggal lebih tempoh

Penjara 12 bulan tinggal lebih tempoh

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Ogos – Gara-gara tinggal melebihi tempoh di negara ini, seorang lelaki Indonesia dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Ahmad Harun, 29, dari Lamongan Indonesia berdepan pertuduhan tinggal selama 2,218 hari tanpa suatu sebab yang munasabah sejak 15 Julai 2009 sehingga tarikh tangkapannya pada 11 Ogos 2015.

Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain memerintahkan hukuman ke atas defendan berkuat kuasa hari ini.

Fakta kes menyebut, defendan ditahan di sebuah rumah sewa di Kampung Anggerak Desa pada 11 Ogos sekitar jam 1:16 pagi oleh anggota penguat kuasa imigresen sebaik menerima maklumat daripada orang ramai.

p06-3_20150814

Defendan ketika itu gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah ketika diminta oleh anggota penguat kuasa tersebut.

Siasatan pihak imigresen mendapati defendan memasuki negara ini pada 9 Januari 2008 melalui pos kawalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di bawah pas kerja sebuah syarikat pembinaan.

Pada 4 Julai 2009, pas kerja defendan telah dibatalkan oleh majikannya dan diarahkan untuk meninggalkan negara ini sebelum 14 Julai 2009.

Defendan bagaimanapun telah melarikan diri dan laporan telah dibuat oleh majikannya kepada pihak imigresen.

ARTIKEL YANG SAMA