Penjara 2 tahun kerana pecah amanah

Penjara 2 tahun kerana pecah amanah

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Dis – Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini, setelah mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah melibatkan $18,281.

Hakim Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli memerintahkan hukuman ke atas Haji Abdul Aris bin Haji Ismail, 35, bermula 29 Disember.

Tertuduh juga diarahkan untuk membayar ganti rugi berjumlah $13,971 kepada Syarikat G4S dalam tempoh tiga bulan dan jika gagal akan berdepan tambahan enam bulan penjara.

Hakim turut mengarahkan barang-barang bernilai $720 yang dibeli tertuduh menggunakan wang itu diserahkan kepada kerajaan untuk dimusnahkan.

pg01_151231_mahkamah logo

Fakta kes menyebut, tertuduh merupakan ketua krew petugas yang diarahkan oleh Syarikat G4S untuk membawa wang tersebut bersama dua lagi rakan sekerjanya.

Selesai sahaja mengeluarkan wang berjumlah $60,841 dari mesin simpanan wang Bank Standard Chartered (SCB) cawangan Tanjung Bunut, dan memasukkannya ke dalam beg mengikut prosedur, petugas G4S kemudian meneruskan perjalanan ke mesin simpanan seterusnya.

Dalam perjalanan itu, tertuduh membuka beg itu dan mengambil wang berjumlah $18,281, dan memindahkan baki wang sebanyak $42,560 ke dalam beg baru.

SCB kemudian menyedari mengenai kekurangan wang itu, dan terus menjalankan siasatan dalaman.

Pihak bank kemudian membuat laporan polis, yang membawa penangkapan kepada tertuduh. Tertuduh mengaku telah menggunakan wang itu untuk keperluan sendiri dan juga untuk membayar hutang.

Polis menemui semula baki wang berjumlah $4,310 yang belum digunakan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamaliah binti Haji Ibrahim.

ARTIKEL YANG SAMA