Penjara 4 bulan, rosak rumah jiran

Penjara 4 bulan, rosak rumah jiran

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Okt – Seorang lelaki penduduk tetap berusia 42 tahun yang berdepan pertuduhan merosakkan harta benda milik jirannya dijatuhi empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu ke atas Khairuddin bin Haji Jair yang mengaku bersalah merosakkan tingkap dan kipas pengalihan udara di kediaman Hajah Norhayati binti Haji Ludin di Perpindahan Lambak Kanan pada 21 September 2015 sekitar jam 11:20 pagi.

Kerosakan yang dilakukan tertuduh dianggarkan bernilai $250.

Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh yang tinggal bersebelahan dengan mangsa telah mengambil bata, dan membalingnya ke arah tingkap rumah mangsa.

mahkamah

Melihat tingkap rumah itu pecah, tertuduh sekali lagi membaling lebih banyak bata ke rumah mangsa sehingga terkena kipas pengalihan udara di bahagian dapur.

Mangsa yang terdengar bunyi kuat dari tingkap yang pecah telah mengambil rakaman tertuduh membaling bata, dan terus membuat laporan polis.

Tertuduh dilaporkan dalam keadaan tertekan ketika berjalan-jalan di sekitar rumahnya sebelum memulakan membaling bata ke rumah jirannya.

Tertuduh sebelum ini pernah dijatuhi penjara selama dua bulan pada 24 Jun lalu atas kesalahan yang sama, dan juga di tempat yang sama.

Majistret Dewi Norlelawati memerintahkan hukuman tertuduh berkuat kuasa pada hari dia ditahan reman iaitu pada 23 September.

ARTIKEL YANG SAMA