Penjara 5 bulan akibat gagal bayar denda

Penjara 5 bulan akibat gagal bayar denda

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160330_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Mahkamah Majistret memerintahkan seorang penganggur tempatan untuk menjalani penjara lima bulan bermula hari ini selepas gagal membayar denda $5,400 yang dijatuhkan ke atasnya bagi kesalahan memiliki rokok yang tidak diisytiharkan.

Muhamad Khairul Asymawi bin Nawi, 25, mengaku bersalah di hadapan Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain atas dakwaan memiliki 12 karton dan 41 paket rokok di rumahnya di Kampung Tumpuan Telisai, Tutong.

Defendan dalam rayuannya memohon mahkamah supaya dapat membayar secara ansuran iaitu $50 setiap bulan namun Majistret Kanan tidak dapat membenarkannya kerana jumlah itu terlalu rendah.

Kertas pertuduhan menyebut, rokok-rokok itu ditemui dalam bilik tidur defendan oleh pegawai pencegah kastam yang membuat pemeriksaan sebaik menerima maklumat berhubung penjualan rokok kepada orang ramai.

Defendan mengaku kesemua rokok itu miliknya, dan telah membelinya di Limbang pada harga $144. Rokok-rokok yang ditemui itu untuk dijual dan juga untuk dirinya.

Pegawai Pendakwa Kastam memberitahu mahkamah, cukai yang seharusnya dibayar untuk memiliki rokok-rokok itu ialah $805 di mana defendan gagal mengisytiharkannya.

ARTIKEL YANG SAMA