Penjara 5 tahun miliki senjata api

Penjara 5 tahun miliki senjata api

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jun – Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun, tiga sebatan dan denda $1,500 atau tambahan tiga bulan penjara jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret, semalam, atas pertuduhan memiliki senjata api dan kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Pemangku Majistret Kanan, Azrimah binti Haji Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu ke atas Ampuan Mohd Shukry bin Ampuan Mumali/Awang Yusof berusia 41 tahun.

Fakta kes menyebut, tertuduh ditangkap oleh pegawai Biro Kawalan Narkotik (BKN) yang membuat serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Dipa Negara, Kuala Belait pada 23 Disember 2013.

Tertuduh telah menyerahkan set peralatan dan juga paket plastik kepada pegawai BKN.

Pegawai BKN turut membuat pemeriksaan ke atas kediaman tertuduh termasuk bilik tidur tertuduh di mana dua laras senapang buatan sendiri ditemui di dalam beg. Beg yang turut mengandungi beg plastik berisi ball bearings, guli dan dua botol mengandungi cecair yang jelas telah dibawa oleh polis dari Balai Polis Kuala Belait yang tiba di tempat kejadian sebaik dihubungi oleh pegawai BKN.

Kesemua bahan dihantar untuk dianalisis dan telah disahkan oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei sebagai senjata api.

Sementara itu, paket plastik dan set peralatan milik tertuduh setelah dianalisis didapati mengandungi dadah.

Tertuduh diwakili Peguam Pengiran Khairul Nizam bin Pengiran Haji Mohd Yassin manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Hazirah binti Pengiran Mohd Yusof.

ARTIKEL YANG SAMA