Penjara 68 bulan, 5 sebatan kerana curi wang tabung masjid

Penjara 68 bulan, 5 sebatan kerana curi wang tabung masjid

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Mahkamah Perantaraan di sini, semalam, menjatuhi 68 bulan penjara dan lima sebat ke atas seorang lelaki Malaysia yang berdepan pertuduhan merosakkan harta benda dan mencuri wang tabung di tiga buah masjid di Daerah Temburong.

Mohammad Khairi bin Awang Shari, 23, telah mengaku melakukan kesalahan itu di Masjid Utama Mohd Salleh, Masjid Kampung Labu Estate dan Masjid Pengiran Haji Abu Bakar antara 11 dan 19 September.

Hakim Pengiran Hajah Hanani binti Pengiran Haji Metussain memerintahkan hukuman ke atas tertuduh berkuatkuasa 25 September, iaitu tarikh dia mula ditahan reman.

Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh telah merosakkan peti tabung di ketiga-tiga masjid yang dianggarkan bernilai $820 dan telah mencuri wang di dalamnya yang berjumlah keseluruhan $151.

mahkamah

Siasatan mendapati tertuduh memasuki negara ini melalui Lawas dengan niat untuk mencuri di masjid-masjid Daerah Temburong.

Wang yang dicurinya akan digunakan untuk membayar bil dan juga membeli rokok. Tertuduh bagaimanapun berjaya ditangkap pada 25 September di sempadan ketika hendak meninggalkan negara ini.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Hazirah binti Pengiran Mohd Yusof.

ARTIKEL YANG SAMA