Penjara dan sebat import Kanabis

Penjara dan sebat import Kanabis

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mei – Seorang lelaki Malaysia dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun enam bulan dan tujuh sebat oleh Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini, atas pertuduhan mengimport Kanabis.

Hakim Pengiran Hajah Hanani binti Pengiran Haji Metussain menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Bernard Chin Jun Tin bersalah mengimport lebih daripada 200 gram Kanabis bagi tujuan mengedar.

Tertuduh tiba di Pos Kawalan Sungai Tujoh kira-kira 12:40 tengah hari pada 11 Oktober 2013 di mana dia telah ditahan oleh pegawai kastam yang ingin membuat pemeriksaan.

Tertuduh memberitahu pegawai kastam bahawa dia hanya membawa rokok di mana dia telah diminta untuk mengisytiharkan apa yang dibawanya.

Kemudian tertuduh memberitahu pegawai kastam dia akan meninggalkan rokok itu di pos kawalan tanpa mahu mengisytiharkannya.

Perbuatan tertuduh menimbulkan curiga kepada pegawai kastam di mana pemeriksaan yang dijalankan ke atas kereta tertuduh mendapati 204.5998 gram kanabis di dalam plastik yang diletakkan di tempat duduk belakang.

Timbalan Pendakwa Raya Hajah Atiyyah binti PD Haji Abas memberitahu mahkamah bahawa analisa yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Saintifik telah mengesahkan apa yang dibawa oleh tertuduh adalah dadah.

ARTIKEL YANG SAMA