Penjara, denda tinggal lebih tempoh

Penjara, denda tinggal lebih tempoh

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Dis – Mahkamah Majistret, hari ini, menjatuhkan hukuman tiga bulan penjara dan denda $600 ke atas seorang wanita Thailand atas kesalahan tinggal di Brunei Darussalam melebihi tempoh yang dibenarkan.

Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin menjatuhkan hukuman itu ke atas Sunanya Malisan, 32, dari Yasothon, Thailand yang berdepan pertuduhan tinggal selama 511 hari, sejak 14 Julai 2014 hingga 7 Disember 2015.

Defendan turut diarahkan untuk membayar denda hari ini, dan jika gagal, akan berdepan tambahan dua minggu penjara.

Fakta kes menyebut, siasatan di Jabatan Imigresen menunjukkan defendan memasuki negara ini pada 17 April 2014 melalui Pos Kawalan Imigresen Labu, Temburong dan diberikan pas melawat yang sah sehingga 17 Mei 2014.

Siasatan turut mendapati defendan kali terakhir memperbaharui pas melawatnya pada 13 Mei dan hanya diberikan pas melawat sehingga 13 Julai 2014 sahaja.

Defendan ditangkap pada 7 Disember oleh polis dan kesnya diserahkan kepada pihak imigresen.

Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin mengarahkan hukuman defendan bermula hari ini.