Penjara gara-gara mohon maaf tak ikhlas

Penjara gara-gara mohon maaf tak ikhlas

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan – Seorang majistret menyifatkan permohonan ‘minta maaf’ daripada tiga orang lelaki tempatan yang berdepan dakwaan cuba mencuri, yang ingin disampaikan kepada pemilik ladang ternakan ayam adalah tidak ikhlas.

“Kamu bertiga hanya berkata begitu kerana kamu sudah ditangkap, dan bukannya mengambil pengajaran darinya,” tegas Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abdul Rahman ketika menjatuhkan hukuman penjara ke atas Masuriady bin Haji Ahad, 31, Abdul Rahman bin Haji Talib, 31, dan Asri bin Haji Taib, 28.

Mereka dijatuhi penjara dua bulan setiap seorang, bermula hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan cuba mencuri.

“Kes curi semakin menjadi dewasa ini, dan perlu dicegah di mana hukuman denda adalah tidak sesuai dan tidak berpatutan,” kata Majistret Pengiran Shahyzul lagi.

pg01_150108_mahkamah logo

Ketiga-tiga tertuduh didakwa cuba mencuri lima batang paip, tiga batang besi, satu tab mandi, tiga besi katil, tiga kepingan besi pagar, satu penutup pencuci, satu tangki air dan empat kepingan zink di kawasan ladang ternakan ayam di Jalan Jerudong Baru, Tanjung Nangka pada 15 Mei 2015 kira-kira jam 7:30 pagi.

Fakta kes menyebut, jiran kepada pemilik ladang ternakan ayam melihat ketiga-tiga tertuduh memasukkan barang ke dalam van.

Jiran tersebut menahan mereka dan terus menghubungi pemilik ladang ternakan, yang kemudian membuat laporan polis. Ketika siasatan, ketiga-tiga tertuduh mengaku berada di kawasan tersebut untuk mencari bahan besi untuk dijual.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor ‘Adliatul Hidayah binti Haji Mohd Zaidi memberitahu mahkamah barang curi itu dianggarkan bernilai $30.

Majistret Pengiran Shahyzul turut mengarahkan untuk barang curi itu dikembalikan kepada pemiliknya.

Mengikut rekod mahkamah, ketiga-tiga tertuduh mempunyai sabitan terdahulu.

ARTIKEL YANG SAMA