Penjara, sebatan gara-gara percaya ejen

Penjara, sebatan gara-gara percaya ejen

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Gara-gara menyerahkan pasport untuk diperbaharui kepada seorang ejen, seorang lelaki Indonesia dijatuhi empat bulan penjara dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan tinggal melebihi tempoh di Brunei Darussalam.

Nuryamin, 24, menghadapi pertuduhan tinggal selama 341 hari di negara ini tanpa suatu sebab yang munasabah sejak pas lawatannya mansuh pada 3 Oktober 2014.

Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain memerintahkan hukuman ke atas defendan bermula hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, defendan ditahan di bilik sewa di Jalan Pasir Berakas pada 14 Ogos 2015 kira-kira jam 1:38 pagi kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan.

Defendan mengaku telah memberi pasport dan wang tunai $50 kepada seseorang yang mendakwa dirinya sebagai ejen yang dapat memperbaharui tempoh pas lawatan.

pg06_150819_mahkamah logo

Terdahulu, Majistret Kanan membuat pertanyaan kepada pihak pendakwa raya mengenai dakwaan kebanyakan defendan yang mengatakan bahawa mereka telah menyerahkan pasport mereka kepada ejen tempatan untuk diperbaharui.

“Adalah tidak adil bagi warga luar yang telah menaruh kepercayaan kepada ‘ejen tempatan’ terbabit yang kononnya dapat memperbaharui pas lawatan mereka tetapi sebaliknya lari bersama duit tersebut.”

Timbalan Pendakwa Raya Hajah Atiyyah binti Haji Abas memaklumkan mahkamah bahawa pihak imigresen sedang menjalankan siasatan dan setakat ini, dua suspek telah dikenal pasti untuk membantu siasatan.

ARTIKEL YANG SAMA