Penjawat awam dipecat, ‘tersalah’ taip nama penuh KPK

Penjawat awam dipecat, ‘tersalah’ taip nama penuh KPK

JAKARTA, 10 Jun – Gara-gara menaip nama Suruhanjaya Pembanterasan Korupsi (KPK) menjadi ‘Suruhanjaya Perlin-dungan Korupsi’, seorang penjawat awam di Kementerian Dalam Negeri terus dipecat serta-merta semalam.

Media-media tempatan hari ini memetik Menteri Dalam Negeri, Tjahjo Kumolo sebagai berkata hasil siasatan mendapati terdapat unsur sabotaj dalam kementeriannya kerana perkara itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, insiden terbabit telah memalukan kementerian dan perbuatan itu tidak dapat dimaafkan agar menjadi pengajaran kepada petugas lain supaya tidak berani untuk membuat sebarang sabotaj terhadap kementerian.

Beliau berkata, perbuatan petugas terbabit telah tersebar luas dalam media sosial yang menyebabkan pihak kementerian terpaksa memohon maaf secara bertulis kepada KPK.

KPK ialah sebuah agensi suruhanjaya pencegahan rasuah di Indonesia dan kebelakangan ini mendapat liputan media hampir setiap hari kerana menerobosi siasatan rasuah di semua jabatan kerajaan termasuk parlimen, dewan rakyat daerah dan pejabat gabenor.

Kesalahan menaip nama KPK di atas satu sampul surat yang dihantar kepada ketua suruhanjaya itu dari Kementerian Dalam Negeri telah dikesan oleh petugas KPK sendiri dan kemudian ia tersebar luas dalam media sosial orang awam. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA