Penjelasan ‘jerebu kuning’

Penjelasan ‘jerebu kuning’

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam menjelaskan bahawa imej satelit dengan kenyataan ‘asap jerebu kuning’ yang diramalkan akan menjejaskan kawasan Pulau Borneo, yang telah disebarkan melalui media-media sosial, sebenarnya asap jerebu disebabkan oleh sifat partikel habuk jerebu.

Pemangku Pengarah Kaji Cuaca, Jabatan Kaji cuaca Negara Brunei Darussalam, Awang Muhamad Husaini bin Aji dalam satu kenyataan berkata, imej satelit dikeluarkan oleh National Aeronautics and Space Administration (NASA), Amerika Syarikat (AS), pada 19 Oktober 2015, menunjukkan kepulan asap tebal di kawasan Kalimantan, Indonesia (Selatan Borneo).

Katanya, asap jerebu kelihatan seperti ‘awan kuning’ pada imej satelit disebabkan oleh sifat partikel habuk jerebu, yang berlainan daripada partikel awan.

Regional Haze Map bertarikh 21 Oktober 2015, yang dikeluarkan oleh Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura (National   Environment Agency), juga menunjukkan kepulan asap jerebu tebal yang telah dicerap di kawasan Kalimantan, Indonesia (Selatan Borneo).

Sementara itu, kawasan-kawasan di Sumatera, Indonesia, juga telah melaporkan keadaan asap jerebu di tahap tebal pada hari ini, katanya.

Menurut beliau, negara ini dijangka akan berterusan mengalami keadaan berjerebu di tahap sederhana bagi beberapa hari mendatang, disebabkan oleh asap jerebu rentas sempadan (trans-boundary haze) yang dibawa oleh angin Barat Daya ke sini.

Keadaan jerebu ini berkemungkinan akan berkurangan sekitar hujung minggu atau awal minggu depan, apabila angin Barat Daya dijangka berkurangan. Aktiviti hujan atau hujan berpetir juga dijangka akan sekali-sekala menjejaskan negara, terutama bermula hari Jumaat sehingga Ahad, yang mana boleh mengurangkan sedikit keadaan jerebu.

Awang Muhamad Husaini berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan cuaca dan iklim dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat cuaca jika perlu.

“Kami juga ingin menasihati orang awam supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat-maklumat cuaca yang tidak disahkan melalui media-media sosial yang boleh menyebabkan keadaan resah dan panik kepada orang ramai.” Orang ramai boleh mendapatkan keadaan cuaca terkini melalui aplikasi Brunei WX atau Iaman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti Iaman Facebook Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam, atau menghubungi melalui Talian Cuaca 114 atau 2345567.

ARTIKEL YANG SAMA