Penjelasan mengenai Ekuinoks

Penjelasan mengenai Ekuinoks

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam hari ini membuat penjelasan ke atas kenyataan yang disebarkan melalui media-media sosial mengenai Fenomena Ekuinoks yang dikatakan akan menyebabkan suhu ekstrem mencecah 40 darjah Celsius pada 20 Mac ini.

Ekuinoks merupakan satu kejadian astronomi di mana matahari akan berada di atas garis Khatulistiwa yang menyebabkan jumlah persamaan masa bagi waktu siang dan malam. Keadaan ini berlaku dua kali setahun.

Bertentangan dengan kenyataan yang disebarkan, berdasarkan data suhu yang telah dikumpulkan oleh Jabatan Kajicuaca, tiada rekod peningkatan suhu permukaan semasa kejadian ekuinoks berlaku, kata Pemangku Pengarah Kaji cuaca Negara Brunei Darussalam, Awang Muhamad Husaini bin Aji dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, keadaan panas dan kering yang dialami masa kini adalah disebabkan pengaruh fenomena El Nino yang berterusan berlaku di bulan terkering bagi Brunei Darussalam iaitu Februari dan Mac.

Trend suhu maksimum memang lebih cenderung meningkat semasa kejadian fenomena El Nino dengan peningkatan melebihi 34 darjah Celsius.

Purata suhu maksimum di Negara Brunei Darussalam adalah di antara 30-33 darjah Celsius manakala suhu maksimum tertinggi yang pernah direkodkan adalah 38 darjah Celsius pada 28 Mac 1983.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat cuaca yang tidak disahkan melalui media-media sosial yang boleh mengakibatkan panik dan kekhuatiran kepada orang ramai.

Jabatan Kaji cuaca akan terus memantau keadaan cuaca dan iklim dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat cuaca jika perlu.

Orang ramai boleh mendapatkan keadaan cuaca terkini melalui aplikasi Brunei WX atau laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam, atau menghubungi melalui Talian Cuaca 114 atau 2345567.

ARTIKEL YANG SAMA