Penjenayah kes ceroboh, curi dihukum penjara

Penjenayah kes ceroboh, curi dihukum penjara

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151222_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Dis – Mahkamah Majistret, hari ini, menjatuhkan hukuman 13 bulan dan tiga minggu penjara ke atas seorang lelaki tempatan yang mengaku bersalah bagi pertuduhan menceroboh dan curi.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid mengarahkan hukuman ke atas Muhammad Hadi Khairi Syazwan bin Mohd Khairul Ariffin, 21, bermula hari ini.

Tertuduh berdepan dakwaan menceroboh sebuah rumah di Jalan Jaya Negara pada 12 Disember dengan cuba membuka pintu utama menggunakan pemutar skru namun gagal.

Tertuduh juga menghadapi tuduhan memecah masuk sebuah rumah di Jalan Singa Menteri dan mencuri satu gerudi jenama Dewalt dan telefon bimbit Nokia, dan menjual gerudi itu pada harga $25. Polis berjaya menemukan semula gerudi itu daripada pembelinya.

Tertuduh turut berdepan kesalahan mencuri telefon bimbit Samsung Wonder dari sebuah rumah di Jalan Maulana pada 4 November, dan menjualnya untuk mendapatkan wang. Polis gagal untuk mendapatkan semula telefon bimbit itu.

Muhammad Hadi untuk tuduhan keempat juga didakwa memecah masuk sebuah rumah di Jalan Maulana pada 15 hingga 19 Oktober dan mencuri pemain DVD Samsung mudah alih, dua kamera, dua set alat dengar, alat kawalan jauh TV Apple, alat penimbang makanan digital, pembesar suara mudah alih dan pelbagai mata wang ketika pemilik rumah melancong ke luar negara.

Tertuduh menjual satu kamera pada harga $70 dan set alat dengar pada harga $40. Polis berjaya menemukan semula barang curi itu. Majistret Dewi Norlelawati turut mengarahkan kesemua barang curi yang ditemui semula itu dikembalikan kepada pemiliknya.

ARTIKEL YANG SAMA