Penjenayah yang dikehendaki ditembak mati

Penjenayah yang dikehendaki ditembak mati

TAWAU, 13 Jun – Polis menembak mati seorang lelaki yang sangat dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam lebih 20 kes jenayah rompak dan samun di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata warga asing itu yang dikenali sebagai Herman, 28, ditembak satelah berlaku pergelutan dengan anggota polis kira-kira jam 5:50 pagi tadi berhampiran sebuah bangunan terbengkalai di Kampung Titingan.

“Polis tiada pilihan setelah diserang menggunakan parang samurai selain menembak suspek untuk mempertahankan diri dengan melepaskan beberapa das tembakan yang mana dua das mengenai dadanya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata Herman dipercayai mengetuai satu kumpulan penjenayah yang dianggotai antara tujuh hingga lapan orang yang sedang diburu polis.

Anggota polis mengangkat mayat penjenayah warga asing yang mati ditembak selepas pergelutan dengan anggota polis di Kampung Titingan kelmarin. – Bernama
Anggota polis mengangkat mayat penjenayah warga asing yang mati ditembak selepas pergelutan dengan anggota polis di Kampung Titingan kelmarin. – Bernama

“Penjenayah yang sering bertukar nama itu pernah ditahan dan didakwa pada tahun 2014 dan 2015 atas pelbagai kesalahan jenayah termasuk dadah,” kata Fadil.

Menurutnya dengan kejayaan menembak mati penjenayah berkenaan, polis percaya berjaya menyelesaikan sekarang-kurangnya 20 kes jenayah di sekitar Tawau dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencederakan anggota polis.

Fadil berkata polis kini sedang memburu saki baki rakan penjenayah berkenaan.

Berikutan kes itu, selain parang samurai, turut dirampas dari suspek ialah beberapa pemutar skru, kapak kecil, besi pencungkil, alat pemotong dawai dan anak panah. – Bernama