‘Penjual barangan’ mencurigakan

‘Penjual barangan’ mencurigakan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Ogos – Kejadian beberapa buah rumah didatangi individu yang kononnya penjual barangan mencetuskan kecurigaan dalam kalangan tuan rumah mahu pun pembantu rumah yang didatangi.

Kecurigaan itu disuarakan dalam media sosial sejak minggu lalu dan Media Permata hari ini cuba mendapatkan cerita sebenar di rumah yang pernah didatangi individu terbabit.

Menurut pembantu rumah di Kampung Lambak, Dayang Nhada, rumah majikannya didatangi seorang wanita yang mengaku dirinya sebagai penjual karpet lewat petang minggu lepas.

Pada awalnya, wanita tersebut mendekati rumah seorang diri sahaja dan bertanya sama ada tuan rumah ada di rumah atau tidak.Tetapi Dayang Nhada enggan memberi kebenaran kepada wanita itu memasuki rumah kerana bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Setelah gagal untuk memujuk pembantu rumah itu, wanita tersebut beredar keluar simpang dan didapati tiga lagi individu lain di dalam kereta menunggu wanita berkenaan.

Dayang Nhada menunjuk lokasi tempat kereta yang menunggu bersama wanita yang mengaku sebagai penjual karpet.
Dayang Nhada menunjuk lokasi tempat kereta yang menunggu bersama wanita yang mengaku sebagai penjual karpet.

Menurut Dayang Nhada lagi, apa yang menguatkan lagi syak wasangka beliau adalah wanita bersama tiga individu itu tidak membawa apa-apa barangan untuk dijual seperti yang dinyatakan oleh wanita berkenaan.

Penulis juga turut menghubungi salah seorang ekspatriat yang turut berkongsi pengalaman yang hampir sama minggu lepas, di mana dia ternampak sebuah kereta di luar simpang rumah jiran yang kosong pada waktu malam dan melihat seorang wanita keluar sambil menunggu di luar simpang.

Beliau yang waswas dengan kehadiran wanita itu lantas keluar rumah bagi memastikan dan dia pasti wanita tersebut tahu dia sedang diperhatikan.

“Wanita tersebut mula beredar dari rumah jiran tersebut setelah melihat saya ada di sana dan tergesa-gesa beredar dari simpang berkenaan.

“Kejadian ini sudah beberapa kali berlaku terutama semasa jiran tidak ada di rumah. Malah kami juga pernah melaporkan kepada pihak polis,” kata beliau.

Beliau berharap pihak berkuasa akan menjalankan lebih banyak rondaan bagi menjaga keselamatan awam di negara ini.