Penjual Mudah.my meningkat 29%

Penjual Mudah.my meningkat 29%

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Pasaran dalam talian terbesar Malaysia, Mudah.my, mencatatkan peningkatan bilangan penjual sebanyak 29 peratus dalam tempoh 12 bulan lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Guarav Bhasin berkata, ketika ini pasaran dalam talian itu memiliki 1.4 juta penjual yang disediakan kepada 7.5 juta pengunjung sebulan, sejak Oktober tahun ini.

“Seorang daripada tiga orang dewasa rakyat Malaysia mengunjungi laman web kami setiap bulan, dengan 74 peratus melayarinya menggunakan peranti mudahalih mereka,” katanya kepada pemberita pada majlis meraikan ulang tahun kesembilan Mudah.my, di sini, hari ini.

Guarav berkata setiap hari, trafik syarikat itu boleh mencecah sehingga lebih 750,000 pengunjung, kenaikan 10 peratus daripada Oktober tahun lepas.

“Pengguna dan juga penjual akan melihat beberapa perubahan dalam laman web serta aplikasi mudah alih kami untuk meningkatkan kecekapan dan keselesaan bagi kedua-duanya,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA