PENJURU hargai ahli

PENJURU hargai ahli

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam (PENJURU), hari ini, turut tidak melepaskan peluang di minggu terakhir bulan Syawal untuk mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang DiPertua PENJURU, Datin Paduka Hajah Suraya Noridah binti Abdullah.

Turut hadir ialah Naib Yang DiPertua PENJURU, Dayang Asmah binti Haji Omar, Pengerusi Majlis, Haji Jofrey bin Haji Abdul Rahman, para pegawai dan kakitangan di persatuan berkenaan, pegawai jururawat, jururawat, pembantu jururawat, jururawat pergigian dan bidan dari keempat-empat daerah dan para jemputan lain.

Datin Paduka Hajah Suraya Noridah dalam ucapannya menjelaskan, kerjaya kejururawatan dan bidan seharusnya berhubung rapat dengan keluarga dan masyarakat dan kepercayaan kepada pemedulian yang diberikan adalah dengan menumpukan kepada pemberian perkhidmatan yang cemerlang.

Antara persembahan yang memeriahkan lagi Majlis Sambutan Hari Raya PENJURU.
Antara persembahan yang memeriahkan lagi Majlis Sambutan Hari Raya PENJURU.

“Para jururawat dan bidan disaran untuk sentiasa mengutamakan ciri-ciri memberikan khidmat bakti kepada masyarakat yang memerlukan pemedulian dan perawatan tanpa mengira apa pun latar belakang, kepercayaan, sosio-ekonomi dan budaya mereka,” tekannya.

Majlis sambutan berkenaan dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian lagu-lagu Hari Raya daripada ahli-ahli jawatankuasa PENJURU.

Majlis bertujuan untuk memberi peluang beramah mesra bagi mengeratkan silaturahim serta memberikan semangat dan penghargaan kepada semua jururawat, jururawat pergigian dan bidan setelah memberikan sumbangan bakti, negara dan masa.

Di samping itu juga, ia menjadi motivasi, galakan dan dorongan kepada mereka agar terus gigih berusaha demi mempertingkatkan mutu perkhidmatan kejururawatan khasnya.

ARTIKEL YANG SAMA