Penswastaan sesuatu yang efisien

Penswastaan sesuatu yang efisien

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – Kerajaan mempunyai perancangan bagi penswastaan (outsourcing) agensi dan perkhidmatan kerajaan yang difikirkan lebih efisien jika dilaksanakan secara penswastaan di mana ia bukan sahaja dilihat pada peringkat jabatan tetapi juga pada peringkat perkhidmatan yang sesuai untuk diswastakan.

Di samping itu, penswastaan jawatan atau perkhidmatan tidak hanya dihadkan kepada jawatan-jawatan dalam Bahagian 4 dan 5 sahaja tetapi adalah secara menyeluruh iaitu di semua peringkat perkhidmatan awam.

“Dalam hal ini, pihak kerajaan telah dan akan terus meneliti keperluan untuk menswastakan mana-mana perkhidmatan yang bersesuaian dengan tujuan untuk meningkatkan produktiviti dan pemberian perkhidmatan kepada orang ramai.”

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim ketika menjawab persoalan yang dikemukakan oleh, Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Salbiah binti Haji Sulaiman mengenai isu penswastaan jawatan-jawatan dalam Bahagian 4 dan 5 serta pembekuan jawatan terhadap pelajar dermasiswa, hari ini.

Mengenai dengan kesan yang boleh timbul daripada cadangan pembekuan jawatan-jawatan terhadap pelajar dermasiswa yang diikat janji atau bonded dan kesannya terhadap pelan succession, jelas beliau, jawatan-jawatan ini sebenarnya tidak semuanya dibekukan, jawatan-jawatan yang dibekukan kebanyakannya adalah yang telah lama tidak diisikan, ada sebahagiannya telah dipohonkan dalam tiga atau empat tahun yang lepas, jadi apabila dinilai semula, nampaknya jawatan-jawatan ini, sebenarnya tidak diperlukan secara mendesak untuk diisikan pada ketika ini.

Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman ketika menjawab persoalan berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman ketika menjawab persoalan berkenaan.

pg01_160309_MMN-_Logo

Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Salbiah ketika menyuarakan persoalan tersebut.
Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Salbiah ketika menyuarakan persoalan tersebut.

Dalam hubungan itu, cadangan pembekuan tidaklah akan menjejaskan perancangan penggantian sesebuah jabatan, tekan Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman lagi ketika Majlis Mesyuarat Negara bersidang pada hari ketiga.

Mengulas mengenai isu ikat janji para penerima dermasiswa kerajaan, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa kebanyakan mereka yang diikat janji itu adalah mereka yang mengikuti kursus-kursus yang benar-benar diperlukan oleh kerajaan seperti bidang kedoktoran dan perguruan, di mana jawatan-jawatan berkenaan tidak termasuk dalam jawatan-jawatan yang dibekukan.

“Maka keperluan bagi penuntut-penuntut tersebut untuk dilepaskan daripada ikat janji adalah tidak timbul.

“Tambahan lagi, jumlah pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam yang akan bersara wajib sehingga Disember 2015 adalah dijangkakan berjumlah 1,012 orang.” Tambah Yang Berhormat Pehin, “Ini bermaksud jawatan-jawatan yang akan dikosongkan adalah untuk diisi melalui kaedah rancangan penggantian di samping, jawatan-jawatan kosong yang perlu diisi oleh kerajaan untuk jawatan-jawatan yang diperlukan.”

Terdahulu daripada itu, Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman turut mengulas mengenai persoalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Haji Awang Ahmad Morshidi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman mengenai langkah-langkah yang diambil untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

Yang Berhormat Pehin berkata bahawa kerajaan amat peka dengan keadaan ekonomi semasa dan kesannya kepada kewangan kerajaan dan oleh itu, kerajaan telah membuat perancangan terperinci bagi memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh dan berdaya tahan.

“Langkah dan dasar pengurusan kewangan secara berhemah ini bukan sahaja bagi menangani keadaan jangka pendek malahan ia juga bagi jangka masa panjang, ke arah itulah melalui dasar fiscal sustainability dan fiscal consolidation, kerajaan juga mempunyai perancangan untuk memastikan perbelanjaan ditumpukan kepada sektor-sektor yang dapat mengembang luaskan sumber pendapatan dan perekonomian negara.”

Beliau berkata lagi bahawa usaha itu bukan saja bertujuan untuk mengurangkan pergantungan kepada sumber asli, iaitu minyak dan gas sebagai pendapatan utama negara dan kerajaan, tetapi adalah untuk menjadikan ekonomi negara lebih dinamik dan berdaya tahan dalam jangka masa panjang.

“Dalam hasrat tersebut, kerajaan amat berhati-hati dalam memilih projek-projek yang akan dilaksanakan di mana tumpuan perbelanjaan adalah bagi memudah cara perniagaan dan bagi membantu pengukuhan sektor swasta di negara ini.

“Perancangan dan perlaksanaan dasar-dasar yang disebutkan tadi akan terus dikekalkan walaupun harga minyak akan meningkat ke tahap AS$50 setong atau lebih, memandangkan ianya masih di paras yang rendah bagi membolehkan negara mencapai bajet yang seimbang ataupun balanced budget.

“Ini adalah semata-mata untuk memastikan kekukuhan dan kedayatahanan kewangan kerajaan supaya apa yang dinikmati sekarang insya Allah akan berterusan.”

Dalam hubungan itu juga, Yang Berhormat Pehin menyeru sektor swasta dan komuniti perniagaan untuk membantu kerajaan menyemarakkan lagi kegiatan ekonomi negara dengan mengambil lebih banyak lagi peluang perniagaan yang telah dibukakan melalui dasar-dasar memudah cara kerajaan yang telah dan sedang dilaksanakan pada masa ini.

ARTIKEL YANG SAMA